2# Metropolis Kaherah

بسم الله الرحمن الرحيم

Isnin, 23/7/2012

   Seramai lapan orang peserta umrah dari Iskandariah yang mengikuti pakej ini. Enam daripadanya adalah lelaki dan dua lagi adalah akhawat tahun tiga, Syazana dan Hafsah. Kami berkumpul di Mahattah al-Qitar ( stesen kereta api) Sidi Gaber yang selepas Zohor. Kebiasaannya tren ke Kaherah dari sini mengambil masa 3 sehingga 4 jam. Sehari sebelum itu Ammar dan aku telah pergi ke sini untuk membeli tiket.

Ketika enak tidur dalam tren, aku dikejutkan Fawwaz. Rupa-rupanya tren tersadai di pertengahan jalan kerana masalah teknikal menyebabkan perjalanan tertunda hampir satu jam. Aku memanfaatkan masa dengan membaca buku Fiqh Aulawiyyat karangan Syeikh Yusuf al-Qardhawi.

Biar lambat, asal bermanfaat !

Iye ke, sebaiknya cepat agar tiada mudarat !


Minda bergaduh hajat pun tersekat


Okay okay, teruskan membaca Fiqh Aulawiyyat..

Eh bila monolog ni nak tamat ?


Dalam jam 6 petang, kami tiba di stesen kereta api Ramsis. Kami segera ke Masjid al-Fath untuk menunaikan solat jama' takhir secara berjamaah. Selesai solat kami bersandar meregangkan tubuh di ruangan solat masjid sementara menunggu panggilan daripada ustaz Faizal.

Seluruh ruangan solat masjid itu rata-ratanya dipenuhi manusia bergelimpangan dengan pelbagai posisi dan gaya tersendiri. Mereka berehat setelah seharian bekerja sambil menunggu waktu untuk berbuka di masjid.

 Rehat kami tidak lama, lima minit kemudian kami bergerak ke perkarangan masjid, menanti kedatangan ustaz bersama tramco (van) yang akan membawa kami ke rumah Johor.

   Menghampiri waktu berbuka, kami bercadang untuk membeli sedikit makanan untuk mengisi perut. Sampainya keputusan, Allah turunkan utusan-utusan. Dua tiga orang lelaki Mesir berbilang umur berdatangan mengedarkan kurma kepada sesiapa yang ada di situ, termasuklah kami. Kemudian datang lagi dan lagi tanpa henti.

Tangan kami yang pada awalnya kosong, paling tidak pun sedang memegang beg ataupun al-Quran terjemahan, kini penuh dengan kurma. Sehinggakan ada yang berjatuhan ke tanah kerana tak mampu ditampung. Keadaan menjadi sedikit haru dengan ketibaan ustaz menggesa kami mengangkat barangan masuk ke tramco.

Lapan orang tidak termasuk ustaz dan astar(pemandu) beserta bagasi-bagasi yang besar dan berat dalam satu van sememangnya agak menyesakkan.

''Tidak mengapa, sekejap je. Nanti sampai juga'' pujuk hati kecil ini sambil memandang wajah-wajah letih bercampur ceria Aiman, Fawwaz, Ammar Luqman dan Syed.

Kalakian, dalam perjalanan masih tidak putus-putus manusia bermurah hati menyedekahkan kurma dan air bermacam perisa kepada kami melalui tingkap van.

 Makin ditolak makin diberi. Mirip hukum Newton ke-3.

   Saat tramco berhenti sahaja di lampu trafik, ada sahaja orang yang akan datang menawarkan kurma dan air,dalam bentuk botol ataupun cawan. Kebanyakannya adalah dalam cawan plastik, bermakna perlu diminum segera bagi mengelakkan tertumpah.

"Allahu Akbar Allahu Akbar..."
Azan pun dikumandangkan, lapar dan dahaga setengah hari itu pintang segera dengan begitu banyak buah kurma, ditambah jus oren, khorub, anggur dan tidak lupa sobya (air yang dibuat dari serbuk kelapa)- semua bekat di tangan masing-masing.

Alhamdulillah,baik sungguh orang-orang Mesir ini pada bulan Ramadhan.

Kami berhenti sementara di Rumah Johor untuk meletakkan bagasi kemudian naik semula tramco menuju ke restoran untuk iftar berat.Walaupun perut kembung dengan air dan kurma, melihatkan nasi ayam panas terhidang di atas meja membuat perut direset kembali kepada default-mode. 

   Di sana kami berjumpa dengan Amirul Yo dan Safwan,rakan-rakan sebatch  kami dari Iskandariah. Mereka kebetulan menetap di Bakan Kelantan selama dua hari selepas peperiksaan atas urusan penting. Kami saling bertukar salam dan pesan sebelum berpisah.

Teruja 

Jarak yang agak jauh daripada tempat kami makan dan Rumah Johor memerlukan kami untuk menaiki kenderaan.Tramco demi tramco ditahan, tiada yang berhenti di sana. Teksi tidak dijadikan pilihan kerana bilangan kami yang ramai.

Bagaikan menanti buah rumbia masak, akhirnya, idea out-of-the-world datang kepada ustaz saat melihat lori-lori di tepi jalan. Ustaz meminta persetujuan, kami ikhwah sentiasa okay, akhawat yang teragak-agak,tersenyum kekok sesama mereka lalu mengangguk setuju.

Dengan bayaran yang berpatutan, maka lori itu kami naiki bersama perasaan teruja seperti kanak-kanak sedang membuka kotak hadiah. Kami saling berpandangan, berborak-borak diselangi jenaka ustaz Faizal sambil menikmati udara malam dan beratapkan tompokan bintang-bintang tanpa teman baiknya sang bulan purnama.

   Apapun, satu pengalaman yang cukup menarik kurasakan di tengah bandar metropolis seperti Kaherah- kota yang memuatkan 20 juta orang, ditambah 8 juta sudah cukup untuk menyamai populasi rakyat Malaysia. Di sini ada metro, bas dan teksi sebagai pengangkutan utama, dan pada malam itu, lori juga menjadi pengangkutan awam kami.

Kami tiba di Rumah Johor dengan selamat dan sejahtera.

Allah lebih tahu, sesuatu yang bakal mendatangi kami jauh lebih menarik.

Tahukah anda?Kaherah adalah ibu negara dan bandar terbesar di Mesir. Kota ini juga merupakan kota paling padat di benua Afrika

Tidak mahu baca. Tak mengapa. Nantikan :)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

The Legend of Kagutaba Village

The perks of doing elective posting.

Talking about mental health