12# Mencari al-Qadr





بسم الله الرحمن الرحيم



Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, 

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? 

Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. 

Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut) 

Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

(terjemahan surah al-Qadr:1-5)

Azan Isya' akan dikumandangkan dalam sekitar jam 9 malam. Solat tarawih akan dilaksanakan sebanyak 20 rakaat ditambah 3 rakaat untuk witir. Menurut kelaziman, tarawih akan berakhir pada pukul 11 malam, bergantung kepada bacaan imam dan bilangan muka surat yang dibaca malam itu.

Itulah kebiasaannya pada 20 malam pertama.

Menyebut tentang bacaan para imam, mereka mempunyai gaya yang berbeza-beza. Bagiku, bacaan Sheikh Abdullah ibnu Awwad al -Juhani lantang dan tinggi. Bacaan Sheikh Maher al-Muaiqily pula lembut dan bergetar, bacaan Sheikh Shuraim lebih tetap dan sekata, manakala Sheikh as-Sudais membaca dengan nyaring dan berisi.

  Aku bukanlah qari mahupun pakar dalam ilmu al-Quran, maka terma-terma yang ku gunakan hanya untuk memberi faham kepada anda yang pasti dapat meneka makna 'tinggi', 'tetap' dan 'berisi'. Maafkan diri ini atas kecetekan ilmu. :(

Sepuluh Terakhir

Memasuki 10 terakhir, sesiapa akan sedar dan dapat melihat perberbezaan dengan hari-hari Ramadhan sebelumnya.

Jika sebelum ini bergerak 20-30 minit sebelum waktu solat Isya' adalah kebiasaan, kini tidak lagi relevan. Kami perlu bergerak sejam lebih awal untuk mendapat tempat yang selesa, itupun biasanya sudah di'book' dengan barisan sejadah-sejadah yang didiami pemilik yang sama sepanjang masa. 'Full-season ticket' kata sahabatku.



Jika sebelum ini antara Zohor dan Asar tidak begitu sesak tawafnya kerana panas dan terik, kini setiap waktu terasa lebih sukar ingin bertawaf kerana semua bersesak-sesak ingin berumrah pada hari-hari akhir Ramadhan.
kawasan solat, berdekatan tempat tawaf.


model travelog menggayakan doanya dengan bergaya ;p


 sesak di luar masjid


suasana tawaf pada waktu malam


Malamnya semakin hidup, lebih ramai yang berikitikaf di masjid merebut kelebihan al-Qadr.

Pada 10 malam terakhir ini, kumpulan manusia berbondong-bondong ke Masjidil Haram semakin ramai.

Sesaknya luar biasa.

Di mana-mana sahaja,

Di ruang legar masjid, Mas'a (tempat Saie), Matwaf (tempat tawaf), tandas, di mana- mana sahaja penuh dengan manusia.

Setiap malam 10 terakhir ini, pada jam kira-kira 1 pagi akan dilaksanakan solat Qiam sebanyak 10 rakaat, ditambah dengan 3 rakaat witir, yang lazimnya mengambil masa sejam setengah,dan adakalanya mencapai 2 jam.

Bacaan Qunut pada akhir rakaat witir juga boleh menjadi lebih panjang menjangkau 25 minit. Tempoh yang sangat panjang bagi mereka yang jarang ber'qunut'!



Malam 27

Boleh dikatakan malam 27 adalah kemuncaknya, walau pada hakikatnya tidak diketahui pada malam yang mana satu adalah malam al-Qadr.

Pada malam ini sesaknya terlebih-lebih lagi luar tabie mashaAllah.

Untuk mencari tempat solat perlu datang awal, jika tidak anda akan menjadi makmum Imam Maher sejauh 500 meter dari masjid. Bukan ingin menakutkan, cuma kami telah merasainya (tidak pada malam 27).

Para jemaah akan berasak-asak mencari tempat solat. Jika tingkat-tingkat atas telah penuh, ia akan ditutup oleh askar dan kadangkala boleh menyebabkan pergaduhan antara pengawal keselamatan dan jemaah yang datang. Tidak asing untuk melihat pergaduhan dalam keadaan sesak dan tekanan.

   Nasihat saya, pastikan anda telah membuang segala yang tidak perlu sebelum masuk ke masjid, terutama sewaktu solat tarawih. Flush all of 'em out! Jika tidak, anda perlu menunggu 30-60 minit selepas tarawih untuk naik semula, kerana semua eskalator dan tangga ke atas telah pun ditutup, dan tandas pula hanya terletak luar dari masjid.

Pernah sekali aku juga tidak jadi turun kerana jemaah-jemaah di bawah sendiri berkerumun hendak ke atas. Hajat terpaksa ditundakan sementara waktu. Ada juga satu insiden di mana jemaah wanita yang ingin masuk dan keluar dari tandas bertembung. Masing-masing tidak mahu menyerah akhirnya bergaduh di tangga yang menghubungkan tandas dan pintu keluar. Akhirnya tentera terpaksa masuk campur bagi meleraikan mereka. Benar, bila jemaah terlalu ramai, tekanan juga tinggi akibat kepanasan dan kepadatan ekstrim. Hanya kesabaran mampu mengatasi segala-galanya. Fasobrun Jamil. Bersabarlah dengan kesabaran yang baik!


Kami sehabis baik cuba memanfaatkan 10 malam terakhir ini dengan solat sunat, membaca Quran dan Iktikaf. Aku biasanya akan membawa satu buku untuk dibaca andainya mengantuk atau letih semasa solat tarawih atau solat Qiam.

Terasa begitu seronok pada malam-malam terakhir itu.

Hidup dengan suasananya, dengan kemerduan suara imam-imam yang menyentuh hati-hati ini. Semoga Allah merahmati mereka.

Hidupnya hati-hati yang sekian lama mati kerana tidak dirawat, tidak diberi makanan rohani.

Hidupnya mata-mata berguguran air mata keinsafan setelah begitu lama kering dalam maksiat dan kelalaian.

Hidupnya anggota dengan amal ibadah setelah terlalu lama menzalimi diri.

Rugilah mereka yang sibuk membeli-belah di Menara As-Safwa

Menonton tv atau tidur di bilik Hotel Hilton

Allah hanya pinta 10 malam dari 365 hari, terlalu banyakkah?

Bulan masih Ramadhan, jangan Syawalkan ia -Ustaz Hasrizal.

.............................

Aku, secara peribadinya tidak pernah pasti andainya ku temui malam al-Qadr itu. Namun apa yang ku pasti ialah, aku telah berusaha. Semoga Allah menerima amalku, dan amalan kita semua.




Allah membuka tawaran Syurga

Buat anda yang sudi

Namun kita jua yang memilih

Untuk berusaha ke sana

Atau membiar diheret ke Jahannam

Semua telah tertulis di sisiNya

al-Qadar adalah manifestasi kecintaan Allah padamu

Menolak cinta Allah seolah mencari syurga lain yang sememangnya tidak pernah wujud.

Akhirnya pilihan di tangan kita,

Memilih syurga dunia yang sementara atau negeri akhirat yang abadi.


(Kembali merindui yang telah pergi, Ramadhan dan 10 malam terakhir yang begitu istimewa. Tak mampu digambarkan dengan tulisan dan foto-foto. Subhanallah. Aku merinduinya.)


...................................


Syawwal pertama tanpa keluarga?

Apa beza Syawal di Mekah dan Malaysia? Nantikan, sedutan Spesial Aidilfitri ! :)






Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

The Legend of Kagutaba Village

The perks of doing elective posting.

Talking about mental health