11# Jabal Rahmah: Doa dan Kayu Kokka
8.00 pagi, Ziarah di Jabal Rahmah.
Agak ramai jemaah yang berada di bukit tersebut pada pagi yang tidak terlalu terik itu. Kebiasaan juga melihat tulisan dan ukiran nama pasangan kekasih yang tersemat abadi di batu-batu.
'Mungkin lebih mustajab', agakku. Yang lain tergelak kecil mendengarnya. Jabal Rahmah agak curam, namun dek kerana mencari keberkatan, sanggup juga para jemaah yang telah berusia memanjat bukti kesungguhan mereka. Kami tidak melepaskan peluang untuk sama-sama berdoa di puncak bukit. Kami turut mengambil gambar, melihat suasana sekeliling bukit dan paling utama, berdoa. Ada juga para jemaah yang mengambil kesempatan menunaikan solat sunat. Kira-kira 20 minit kemudian, kami turun semula dan menuju ke bas memandangkan matahari sudah tidak segan memancarkan terik panasnya.
Hakikat Doa
"Adib, kau doa apa tadi kat Jabal Rahmah?" usik Syed yang duduk di sebelahku.
Ku tersenyum. Soalan itu biasa mengetis akal manusia awal-awal untuk memikirkan soal pernikahan,walau hakikatnya doa itu begitu luas perspektifnya. Sebab itu di dalam hadith disebutkan, doa adalah senjata utama mukmin, bukan senjata utama orang ingin berkahwin cepat!
Tanpa ragu, saya berkata kepada Syed,
" Aku berdoa seperti aku biasa,selalu berdoa."aku menjeda sejenak, mencari-cari perkataan yang sesuai untuk diluahkan.
Mendaki Jabal Rahmah |
Syed tekun mendengar. Fawwaz pula menokok,
"Bila mana seorang hamba berdoa, Allah akan melakukan antara tiga;
1. memakbulkannya,
2. menundakannya pada waktu lain,
3. menggantinya dengan balasan yang lebih baik.
Allah tidak pernah menolak doa seseorang hambaNya"
Aku sendiri mendiam berfikir. Subhanallah. Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Kerana itu rugilah buat mereka yang tidak mahu meminta dari yang Maha Pemberi.
Tanpa disedari Ammar dan Aiman giat mendengar perbualan kami. Input yang menarik pancaindera manusia bagaikan magnet. Sememangnya fitrah insan untuk sukakan kebaikan, walaupun manusia itu sendiri kadangkala, sukar untuk berbuat ihsan.
Rasulullah saw bersabda,
“Seorang muslim yang berdoa , memohon kepada Allah,
Selagi dia tak meminta sesuatu yang berdosa (yang dilarang)
dan tidak meminta sesuatu yang memutuskan hubungan silaturrahim,
Maka Allah berikan satu dari tiga kemungkinan untuk dirinya:
Kemungkinan Pertama: Doa itu dimakbulkan.
Kemungkinan Kedua: Doa itu akan disimpan dan dimakbulkan di akhirat kelak.
Kemungkinan Ketiga: Allah menjauhkan orang itu dari keburukan.
(Hadis Riwayat Tirmidzi)
Fawwaz dan Arodhi |
"Pak, tasbih pak. Kayu kokka pak. Ini lihat pak asli kayu kokka",tawarnya dalam loghat Indonesia cuba meyakinkan setiap penumpang yang berada di dalam bas.
Kelihatan tidak ramai yang berminat, malah saya sendiri tiada keghairahan untuk membeli barang lambakan di pasaran seperti kayu 'Kokka' ini. Apalagi sering dipersoalkan, adakah benar sejarah kayu ini?
Kami meneruskan perbualan, sambil melihat-lihat penjual tersebut bermuamalat dengan penumpang-penumpang bas.
Sejujurnya saya tidak gemarkan penjual yang memecah privasi orang lain dengan memasuki bas yang telah ditempah khas. Namun saya lebih tidak cenderung dengan respon yang diberi segelintir haji-haji berumur 40 tahun ke atas yang melayannya seperti tongong. Kalau betul mahu beli tawar betul-betul. Kalau enggan cakap sahaja tidak mahu. Kalaupun hilang suka dengan manusia, jangan hilang adabnya. Adakah patut menarik-narik tasbih tersebut sehingga menghalang pergerakannya? Adakah beradab dengan mendesaknya memberikan item percuma tanpa membeli langsung?
Tutankhamun bukti keEsaan Allah |
Dan Firaun pula berkata: "Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu); dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta ". (al-Qasas:38)
Ya,dia menggelar dirinya Tuhan dan mencabar pula akan Tuhannya Musa as. Tapi apa perintah Allah kepada Musa dan Harun as?
"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut".(Taha: 44)
Allah memerintahkan dua orang nabi untuk menyampaikan peringatan secara lemah lembut kepada manusia yang paling sombong di muka langit dan bumi. Kalaupun mungkin si penjual ini mempunyai rekod jenayah yang mengagumkan, jahat terlampau, kuat menipu dan penampilan selekeh ala ala cowboy, satu fakta ialah dia tidaklah lebih teruk daripada Firaun yang dishort-listedkan namanya dalam anugerah Most Infamous Award bersama Haman, Abu Lahab dan Qarun.
Usah berpayahan ber-umrah 10 kali, atau bertawaf 70 pusingan sekalipun, andai memelihara hubungan baik sesama manusia pun diabaikan. Bukan pesanan untuk pakcik-pakcik itu sahaja walaupun mereka mungkin tidak akan membaca tulisan ini, tetapi terutama kepada diri ini dan sahabat-sahabat yang ingin mengambil pelajaran.
Benarlah, TEMPAT dan MASA terbaik di pandangan manusia bukanlah indikator amalan seseorang diterima.
Allah cuma memberi peluang.
Kita yang mengambil atau membuang.
Akhirnya kitalah yang menzalimi diri. Seperti yang telah ku sebutkan pada awalnya, Allah pasti tidak akan menghampakan permintaan hamba-hambaNya yang berdoa, namun apabila mereka itu sendiri berlaku zalim, salahkan diri sendiri.
Berdoalah setiap hari seperti engkau berada di Jabal Rahmah, namun jangan kerana Kayu Kokka, engkau sendiri yang merosakkan doamu. Nastaghfiruka wa atubu ilaik..
Hari-hari yang ditunggu kian tiba, fasa terakhir Ramadhan di Mekah al-Mukarramah. Bagaimana agaknya suasana di sini berbanding Malaysia?
Ulasan
Catat Ulasan