Mampukah kita mengubah paradigma?

بسم الله الرحمن الرحيم

Setiap tahun akan ada pelajar baru yang datang ke Mesir, khusus yang saya maksudkan- Iskandariah. Setiap sesi akan ada persaingan antara persatuan dalam merekrut adik-adik tahun pertama yang masih tercari-cari panduan dan tujuan. Tiada salah dalam perkara ini. Sesiapa sahaja layak berusaha untuk merekrut sesiapa sahaja untuk menyertainya. Sebagaimana suasana di kolej dan universiti, para pelajar senior akan mempromosikan kelab dan persatuan masing-masing kepada freshie yang baru tiba.

Namun, perkara ini menjadi lebih serius kerana ia melibatkan gerakan-gerakan dakwah. Apalagi dengan bilangan pelajar yang saban tahun berkurangan kerana penaja MARA telah menamatkan peluang penajaan ke Mesir atas faktor politik dan keselamatan. Setiap gerakan dakwah mahukan pelapis-pelapis bagi meneruskan agenda dan perjuangan gerakan.

Jadi setiap persatuan akan melaksanakan pelan-pelan melalui program, bertemu secara individu mahupun berkumpulan bagi menarik minat kumpulan sasaran mereka. Saya tidak khuatir dengan usaha setiap dari jemaah ini, kerana semuanya mahu para pemuda pemudi yang terbaik buat mereka dan hasilnya adalah manfaat besar buat ummah. Namun kritikan saya terhadap sesiapa yang mengecilkan pihak lain, membuat fitnah dan menyebarkan prasangka buruk terhadap mana-mana pihak. Idea bahawa meyakini dijalan yang benar tidak salah, namun membuat andaian bahawa pihak lain semuanya salah adalah amat berbahaya.

Jika kita meyakini kita membawa idea dan fikrah yang terbaik, maka tidak perlu memburuk-burukkan kumpulan lain, menghalang orang dari menilai dan memerhatikan kumpulan lain, yang sebenarnya hanya menonjolkan ketidakyakinan kita terhadap fikrah yang kita bawa. Bergaduh dan bermasam muka, bukan sahaja ahli tidak bertambah, tetapi semakin ramai yang menjauhkan diri dari gerakan-gerakan islam yang mendakwa membawa islam yang syumul.

Amatlah merugikan apabila potensi-potensi yang ada tidak disinergikan hanya kerana patuh kita pada pimpinan dan jemaah yang menghalang dari bekerjasama dengan pihak lain dalam kebaikan dan ketaqwaan. Saya yakin apabila ada keterbukaan dan sikap saling percaya sesama persatuan, kita mampu fokus kepada amal-amal yang boleh dihalakan kepada masyarakat, khususnya masyarakat Malaysia yang kebanyakannya adalah pelajar. Walau kita berbeza cara dan kaedah, jika kita mampu menyemai sikap keterbukaan ini, kita mampu memberi perspektif yang positif kepada adik-adik yang datang ke Mesir. Mereka mampu memilih gerakan yang diminati secara sihat dan mendapat manfaat maksimum dari pelbagai pihak walaupun berbeza pandangan.

Saya yakin dengan sinergi yang baik antara persatuan mampu mewujudkan suasana yang positif dan harmoni dalam kalangan pelajar. Apabila semua persatuan mampu setuju bahawa pelajaran adalah antara agenda terpenting dalam hayat kita di Mesir ini, maka kita semua akan memberi perhatian dan kepedulian yang tinggi terhadap akademik setiap mahasiswa, dan secara tidak langsung mewujudkan 'support system' yang meraikan perkembangan pendidikan pelajar disamping hal-hal kebajikan yang lain.

Persoalan saya, mampukah kita menuju ke arah paradigma baru ini? Tiada yang mustahil. Saya yakin kita mampu. Akan tetapi, sebelum bercakap tentang mampu, adakah kita semua mahu?

#MesirMenujuMasyarakatHarmoni

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

The Legend of Kagutaba Village

The perks of doing elective posting.

Talking about mental health