Siri 2: Perkembangan Politik Palestin sehingga Perang Dunia Pertama
بسم الله الرحمن الرحيم
Perkembangan Politik Palestin Sehingga 1914
Napolean Bonaparte (wikipedia) |
Kepentingan khusus terhadap Mesir dan Syam tak luput dari pandangan Britain sebagai satu-satunya kuasa besar di dunia ketika itu. Britain membuka konsulnya di Palestin pada tahun 1838, memohon Palestin menjamin keamanan buat bangsa Yahudi baik warga Britain ataupun tidak. Seterusnya konsul ini menjadi tempat bagi mendukung kepentingan Yahudi sehingga terletusnya Perang Dunia Pertama (The Great War) pada tahun 1914. Britain menjadi satu-satunya negara penjajah yang mempunyai kekuasaan di daerah Timur Laut Tengah apabila menguasai Cyprus pada 1878 dan Mesir pada 1882. Britain melihat Palestin sebagai sebuah persaingan jajahan kerana keperluan mereka untuk melindungi terusan Suez sebagai jalur pengangkutan laut Britain ke Timur khususnya India.
Seruan yang dibawa oleh Yahudi dan Zionis non-Yahudi untuk kembali ke Palestin tidak hanya muncul pada abad ke 19 tetapi sudah bermula sejak awal abad ke-16, tetapi tidak melalui amalan politik. Wacana ini dimulakan dengan penerbitan sebuah buku berjudul "Kebangkitan Dunia Besar dan Seruan Yahudi" (The World's Great Restauration, atau Calling of the Jews, and with them of all Nations and Kingdoms of the Earth to the Faith of Christ.) tulisan Henry Finch seorang ahli politik, peguam dan penulis. disusuli dengan munculnya penulisan-penulisan dan laungan dari para penganut Kristian seperti Isaac Newton, John Jack Rowso, Bresteli dan lain-lain. Akan tetapi kedatangan Yahudi hanya terkait melalui sentimen agama dan adat untuk menziarahi beberapa tempat yang dianggap suci, tidak pula terzahir agenda politik secara terbuka. Populasi Yahudi di Palestin pada 1799 sekitar 5 000 dan meningkat seramai 13 920 pada 1867.
Imigrasi Yahudi semakin rancak mulai tahun 1882 seiring dengan krisis di Rusia, namun kerajaan Uthmaniyyah ada melakukan beberapa prosedur yang melarang mereka untuk tinggal di Palestin sehingga ramai bangsa Yahudi yang berhijrah ke Eropah barat dan Amerika Selatan.
Pada tahun 1897, Theodore Hertzl merasmikan kongres Zionis Sedunia di Basel, Switzerland. Resolusi pertama dikeluarkan, bahawa bangsa Yahudi tidaklah sekadar umat yang mempunyai agama, tetapi juga adalah bangsa dengan tekad untuk hidup sebagai satu bangsa dan mempunyai negara. Dalam resolusi tersebut, Zionis menuntut sebuah tanah air bagi bangsa Yahudi-walaupun secara rahsia- pada "tanah yang mempunyai sentimen sejarah kepada mereka". Sebelum itu kerajaan Britain hampir menjanjikan tanah naungan Uganda atau di Amerika Latin (seperti Argentina). Pada kongres itu, Hertzl menyebut Zionisme adalah jawapan bagi 'diskriminasi dan penindasan' atas bangsa itu yang telah berlangsung selama ratusan tahun. Pergerakan ini menjelaskan kembali bahawa nasib bangsa Yahudi hanya boleh diselesaikan dengan tangan mereka sendiri. Hertzl turut berkata, "Dalam 50 tahun akan ada negara Yahudi!". Apa yang direncanakan oleh Hertzl menjadi kenyataan pada tahun 1948.
Kongres Zionis Pertama di Basel, Switzerland pada 1897 (wikipedia) |
Akan bersambung... Nasib Palestin dalam timeline 1914-1918
Artikel Asal: فلسطين دراسات منهجية في القضية الفلسطينية - Dr Muhsin Muhammad Solih
Terjemahan asal: SINAI Mesir
Ulasan
Catat Ulasan