"TERLANJUR" atau "MELANJUR"?
*artikel ini dicopy dr blog badarsaser.Trimas byk2.
Saban hari, dapat kita saksikan di setiap keratan-keratan akhbar tempatan sama ada di muka depan mahupun di selitan muka dalam, terdapat tajuk-tajuk berita yang barangkali sudah jemu dibaca. “Bayi dijumpai di sungai”, “Bayi lelaki dijumpai di dalam mangkuk tandas” dan lain-lain tajuk lagi yang amat menggusarkan kita. Apabila bercerita mengenai buang bayi, sudah tentu tak dapat dipisahkan daripada topik ‘pasangan yang terlanjur’ (jarang sekali mereka yang bernikah membuang anak). Kita dapat lihat bagaimana pihak jabatan agama terpaksa bekerja keras setiap hari dalam menghadapi kemelut ini dan paling menakjubkan adalah betapa mereka yang ‘terlanjur’ tidak segan silu merakamkan adegan-adegan sendiri, maka tersebarlah imej-imej dan video-video hebat melalui internet dengan tajuk-tajuk memalukan, “pelajar kolej.3gp”, “budak 18 thn.3gp” dan lain-lain lagi.
Bukti-bukti yang terpampang di depan mata sering diambil remeh oleh sesetengah masyarakat kita. Seolah-olah kerosakan masyarakat kita berada pada tahap minima. Mereka lebih menumpukan perkara-perkara remeh walhal perkara sedemikian inilah yang patut ditumpu. Di manakah tahap kerosakan masyarakat kita sekarang? Dan pernahkah anda terfikir sejauh manakah bilangan mereka yang terbabit dalam perbuatan yang tidak bermoral ini? Jikalau bukti melalui media di ambil kira untuk mengetahui tahap kerosakan masyarakat kita, dengan sukanya saya menyenaraikan beberapa kaedah terpilih untuk mengira secara kasar bilangan mereka yang ‘terlanjur’. Namun untuk setiap kaedah, terdapat persoalan-persoalan yang perlu diperhalusi.
1. Jikalau jumlah bayi terbuang yang ditemui diambil kira untuk menentukan pasangan yang 'terlanjur', misalnya dalam jumlah sekian, berapakah pula jumlah bayi yang tidak dijumpai langsung atau disorok? Bagaimana pula dengan pasangan yang 'terlanjur' tetapi tidak/belum menghasilkan bayi? Adakah lebih ramai?
2. Jikalau pasangan ‘terlanjur’ yang telah ditangkap khalwat oleh pihak jabatan agama adalah dalam jumlah sekian, berapakah pula pasangan ‘terlanjur’ yang tidak dapat dikesan langsung? Bukankah lebih ramai?
3. Jikalau pasangan ‘terlanjur’ dikira berdasarkan imej atau video yang tersebar melalui internet, bagaimana pula dengan imej atau video yang masih tersorok atau tersimpan rapi? Bagaimana pula dengan mereka yang tidak langsung merakam adegan terkutuk itu? Tentu lebih ramai?
Dan sekarang anda memilih kaedah mana untuk menentukan tahap kerosakan masyarakat kita yakni mereka yang ‘terlanjur’? Ya, memang tidak munasabah untuk menggunakan mana-mana kaedah, malah jika kita menggabungkan kesemua kaedah-kaedah tersebut pun belum tentu untuk mencapai bilangan sebenar jumlah mereka yang ‘terlanjur’. Malah, mana mungkin dapat mewakili 5% daripada mereka yang 'terlanjur'? Itu baru sahaja mereka yang ‘terlanjur’, bagaimana pula dengan mereka yang hanya berjinak dengan aksi ‘ringan-ringan’? Astagfirullah, memang tidak dapat digambarkan betapa sudah rosak masyarakat pada hari ini.
Couple penyumbang besar kepada pasangan yang ‘terlanjur’?
Sebut pasal couple, pasti ramai tersenyum, topik yang acap kali dibincangkan di mana-mana web dan blog. Pada dahulunya, budaya ini hanya didominasi di kalangan remaja-remaja berumur 18 tahun ke atas, tapi pada hari ini, anda boleh berjumpa mereka yang berumur 11 tahun pun sudah mempraktikkan budaya ini. Amat menakjubkan bukan? Seolah-olah budaya ini berkembang seiring dengan teknologi yang kian pesat membangun. Entah tidak dapat dipastikan datang dari mana, budaya couple dikatakan tiba untuk memenuhi fitrah naluri cinta untuk mereka yang belum berkahwin. Pasangan ber'couple' akan berusaha untuk mengenal hati budi masing-masing dalam tempoh-tempoh tertentu kononnya adalah persedian dalam menghadapi rumah tangga. Dalam tempoh couple tersebut, mereka bakal mengecapi saat-saat ‘bahagia’nya, maka timbullah perkataan-perkataan ‘mandi tak basah’, ‘tidur tak lena’ dan ‘makan tak kenyang’.
Masing-masing sedang berada dalam keadaan angau, saling berhubung tidak kira berjumpa, ber’sms’, ber’yahoomessenger’ atau/dan ber’facebook’ untuk memenuhi perasaan rindu yang terpendam dalam hati masing-masing. Proses ini berulang-berulang berhari-hari, berminggu-minggu, dan berbulan-bulan lamanya dengan harapan tiba ke jinjang pelamin, namun malangnya kebanyakkannya gagal. Apabila dikatakan tidak serasi, mereka akan putus. Begitulah berlangsungnya budaya ini, couple-putus, couple-putus, couple-putus, sehinggalah dikatakan serasi barulah mereka dikatakan yakin untuk ke jinjang pelamin.
Kisah budaya ini tidak semudah ini sahaja, kebanyakkannya terselit dengan 'peristiwa' yang tidak tersengaja yakni apa yang kita panggil ‘terlanjur’. Agak pelik bukan bagaimana 'peristiwa' sedemikian boleh berlaku secara tidak sengaja sedangkan proses-proses yang dibincangkan tadi memang menjurus kepada 'peristiwa' itu. Apabila berlaku 'peristiwa' itu, pihak yang beruntung sudah tentu salah satu kaum dari pasangan terbabit yang dipanggil lelaki! Kerana mereka dapat ‘merasa’ pelbagai nikmat atas nama ‘cinta’. Tetapi yang bakal merana, menanti kesudahan peristiwa itu tidak lain adalah kaum hawa.
Wahai kaum muslimah, tidak sedarkah kalian, di sebalik anda semua mengejar cinta, para lelaki pula mengejar ‘cinta’ yang sebaliknya. Anda sering berdalih mengatakan pasangan anda berbeza dengan yang lain, baik dan segala pujian buat mereka, tetapi selang berapa lama kemudian, lelaki yang dikatakan berbeza itu akan menjadi tidak berbeza pula. Ketahuilah jika anda kata pasangan anda adalah ‘baik’, yang sebenarnya sebaik-baik insan itu adalah mereka yang tidak terjebak dalam budaya yang menjurus kepada ‘terlanjur’ ini.
Allah telah berfirman, "Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik" (an-Nur :26)
Sebagai penutup kata, perihal mengenai buang bayi tidak akan sampai ke penghujung jika kita masih tidak sedar akan pangkal asalnya. Alangkah lebih baik jika kita mencegah daripada merawat. Seringkali kita melontar kekecewaan terhadap mereka yang membuang bayi sedangkan kita sedang diseliputi budaya yang menjurus kepada pembuangan bayi tersebut. Selagi kita duduk mempertahankan budaya ini, selagi itulah berita-berita menyentuh jiwa ini tersebar meluas. Tidak cukupkah lagi dengan komentar para ustaz mahupon ilmuan tempatan yang mengulas mengenai isu ini? Mereka yang mempertahankan couple sering berselindung di atas hujah seorang yang dipanggil 'ustaz' sedangkan jumhur yang lain berkata sebaliknya. Mengapakah tidak mengikut jalan majoriti tetapi mengikut jalan minoriti ibarat bertanyakan hukum merokok daripada 'ustaz' yang merokok? Jangankan bila sudah tertanam benih yang haram baru hendak bertaubat. Nauzubillah… sesungguhnya kita sudah berada pada penghujung zaman seperti yang diperkatakan nabi.
"Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan zina seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang. ( Hadis Riwayat Muslim)
Tidak hairanlah jika zaman mak bapa kita dulu, apabila tersebarnya kisah pasangan yang ‘terlanjur’ berusia dalam lingkungan 18 tahun pun sudah heboh satu kampung. Tetapi pada hari ini, kisah pasangan yang ‘terlanjur’ berusia 13 tahun sudah menjadi lumrah kehidupan, sejajar dengan tersebarnya budaya couple di kalangan mereka. Dan akhir kata, istilah ‘terlanjur’ barangkali tidak sesuai digunakan kerana ianya seolah-olah suatu pelakuan yang tidak disengajakan. Jika mereka yang ber'couple' bakal melalui proses-proses ke arah 'terlanjur', lebih molek jika digantikan dengan istilah ‘melanjur’. Untuk apa ber’couple’ jika mereka memang sudah mengetahui bakal 'tak sengaja melanjur'? Tepuk dada, tanya iman. Sekian.
p/s: Istilah ‘terlanjur’ dan ‘melanjur’ pada artikel di atas hanyalah retoris kritis semata-mata. Untuk penggunaan istilah yang tepat, sila rujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka
Barakallahu fikum~
artikel ni bukan hakmilik tuan blog,cuma dikongsi untuk manfaat bersama.
BalasPadam