Siri 2: Perkembangan Politik Palestin sehingga Perang Dunia Pertama

بسم الله الرحمن الرحيم

Perkembangan Politik Palestin Sehingga 1914

Napolean Bonaparte (wikipedia)
Revolusi Napolean Bonaparte di Mesir pada 1798 menunjukkan betapa lemahnya Daulah Uthmaniyyah sehinggakan para penjajah dari Eropah berhajat besar untuk membahagi-bahagikan daerah penguasaan. Sekalipun revolusi Napolean gagal menembusi sempadan kota 'Akka (Palestin) pada 1799 namun beliau menjadi pemimpin politik pertama dari Eropah yang mengeluarkan seruan rasmi kepada bangsa Yahudi untuk mewujudkan impian mereka dan menegakkan sebuah negara di Palestin. Seruan itu dilaungkan pada 20 April 1799 ditengah-tengah pengepungan kota 'Akka. 



Kepentingan khusus terhadap Mesir dan Syam tak luput dari pandangan Britain sebagai satu-satunya kuasa besar di dunia ketika itu. Britain membuka konsulnya di Palestin pada tahun 1838, memohon Palestin menjamin keamanan buat bangsa Yahudi baik warga Britain ataupun tidak. Seterusnya konsul ini menjadi tempat bagi mendukung kepentingan Yahudi sehingga terletusnya Perang Dunia Pertama (The Great War) pada tahun 1914. Britain menjadi satu-satunya negara penjajah yang mempunyai kekuasaan di daerah Timur Laut Tengah apabila menguasai Cyprus pada 1878 dan Mesir pada 1882. Britain melihat Palestin sebagai sebuah persaingan jajahan kerana keperluan mereka untuk melindungi terusan Suez sebagai jalur pengangkutan laut Britain ke Timur khususnya India.

Seruan yang dibawa oleh Yahudi dan Zionis non-Yahudi untuk kembali ke Palestin tidak hanya muncul pada abad ke 19 tetapi sudah bermula sejak awal abad ke-16, tetapi tidak melalui amalan politik. Wacana ini dimulakan dengan penerbitan sebuah buku berjudul "Kebangkitan Dunia Besar dan Seruan Yahudi" (The World's Great Restauration, atau Calling of the Jews, and with them of all Nations and Kingdoms of the Earth to the Faith of Christ.) tulisan Henry Finch seorang ahli politik, peguam dan penulis. disusuli dengan munculnya penulisan-penulisan dan laungan dari para penganut Kristian seperti Isaac Newton, John Jack Rowso, Bresteli dan lain-lain. Akan tetapi kedatangan Yahudi hanya terkait melalui sentimen agama dan adat untuk menziarahi beberapa tempat yang dianggap suci, tidak pula terzahir agenda politik secara terbuka. Populasi Yahudi di Palestin pada 1799 sekitar 5 000 dan meningkat seramai 13 920 pada 1867.

Imigrasi Yahudi semakin rancak mulai tahun 1882 seiring dengan krisis di Rusia, namun kerajaan Uthmaniyyah ada melakukan beberapa prosedur yang melarang mereka untuk tinggal di Palestin sehingga ramai bangsa Yahudi yang berhijrah ke Eropah barat dan Amerika Selatan.

Pada tahun 1897, Theodore Hertzl merasmikan kongres Zionis Sedunia di Basel, Switzerland. Resolusi pertama dikeluarkan, bahawa bangsa Yahudi tidaklah sekadar umat yang mempunyai agama, tetapi juga adalah bangsa dengan tekad untuk hidup sebagai satu bangsa dan mempunyai negara. Dalam resolusi tersebut, Zionis menuntut sebuah tanah air bagi bangsa Yahudi-walaupun secara rahsia- pada "tanah yang mempunyai sentimen sejarah kepada mereka". Sebelum itu kerajaan Britain hampir menjanjikan tanah naungan Uganda atau di Amerika Latin (seperti Argentina). Pada kongres itu, Hertzl menyebut Zionisme adalah jawapan bagi 'diskriminasi dan penindasan' atas bangsa itu yang telah berlangsung selama ratusan tahun. Pergerakan ini menjelaskan kembali bahawa nasib bangsa Yahudi hanya boleh diselesaikan dengan tangan mereka sendiri. Hertzl turut berkata, "Dalam 50 tahun akan ada negara Yahudi!". Apa yang direncanakan oleh Hertzl menjadi kenyataan pada tahun 1948.

Kongres Zionis Pertama di Basel, Switzerland pada 1897 (wikipedia)


Akan bersambung... Nasib Palestin dalam timeline 1914-1918


Artikel Asal: فلسطين دراسات منهجية في القضية الفلسطينية - Dr Muhsin Muhammad Solih 

Terjemahan asal: SINAI Mesir

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

The Legend of Kagutaba Village

Intifada al-Aqsa: Peristiwa, sebab dan kesan

The perks of doing elective posting.