Intifada al-Aqsa: Peristiwa, sebab dan kesan
oleh Adib 'Afifi bin Abdul Rahim
Latar belakang
Terma intifada
secara harafiahnya bermaksud gegaran. Perkataan al-Aqsa, juga dikenali sebagai
Baitul Muqaddas adalah merupakan tempat ibadah ke-3 paling mulia dalam Islam.
Judaisme merujuknya sebagai Temple Mountain, tapak paling mulia dalam agama
Yahudi dan didakwa pernah dibina atasnya Haikal Sulaiman. Intifada al-Aqsa
merujuk kepada kebangkitan rakyat Palestin menentang Israel. Lawatan provokasi
Ariel Sharon ke Haram As-Syarif pada 28 September 2000 adalah merupakan
pencetus yang mengakibatkan kemarahan dan kebangkitan rakyat Palestin.
Kebangkitan ini dinamakan Intifada al-Aqsa atau Intifada ke-2. Ianya berlaku 2
bulan selepas gagalnya Proses Oslo. Intifada al-Aqsa berlangsung tidak hanya
semata-mata kerana tindakan Ariel Sharon, tetapi juga adalah hasil siri
peristiwa selama berpuluh tahun dan multifaktorial yang membawa kepada
kebangkitan ini. Namun dalam artikel yang ringkas ini saya hanya akan mengulas
salah satu faktor tercetusnya Intifada 2 iaitu kegagalan perjanjian Oslo.
Kegagalan Perjanjian Oslo
Perjanjian Oslo
1993 menandakan buat pertama kalinya negara haram Israel dan Palestine Liberation Organization (PLO)
mengiktiraf satu sama lain dan secara terbuka melakukan perundingan bagi
mencapai penyelesaian terhadap konflik selama berpuluh tahun. Perjanjian ini
bukan perjanjian damai, tapi perjanjian ini menggagaskan penyusunan
pemerintahan sementara Palestin dan membentuk rangka membantu siri perundingan
sehingga perjanjian akhir yang akan diselesaikan pada akhir 1998.
Perjanjian Oslo
memindahkan kekuasaan terhadap bandar-bandar di Tebing Barat dan Semenanjung
Gaza dari tentera Israel kepada Pihak Berkuasa Palestin yang baru ditubuhkan.
Ia adalah sebuah struktur sementara bagi mengawal keselamatan dan pentadbiran
di kawasan tersebut. Matlamat akhirnya ialah melalui penubuhan sebuah kerajaan
sendiri Palestin dan penarikan diri Israel dari tanah jajahannya, akan mampu
mengukuhkan kepercayaan antara pemimpin kedua-dua pihak untuk merundingkan
status akhir isu-isu asas/fundamental termasuklah Jerusalem, nasib pelarian
Palestin, penempatan haram Israel, sempadan dan keselamatan.
Namun begitu,
harapan rakyat Palestin bagi mencapai kehidupan yang lebih baik, lebih kebebasan
dan pengakhiran pengawalan Israel tidak menjadi kenyataan. Pembinaan penempatan
haram di Tebing Barat dan peluasan kawasan terus berlangsung. Sejak 1993
sehingga tahun 2000, bilangan penduduk haram Israel meningkat sekitar 117% di
Gaza dan 46% di Tebing Barat (tidak termasuk Tebing Barat).(1) Pada
tahun 2000, 7 tahun selepas Oslo, Israel masih mengawal Timur Jerusalem, 20%
dari Gaza dan 59% di Tebing Barat. Kebanyakan percukaian dan pendapatan masih
melalui Israel, dan Israel berkuasa memutuskan bila untuk menyerahkan
pendapatan tersebut kepada Pihak Berkuasa Palestin (Palestinian Authority- PA).
Bagi menampung bilangan pendatang haram yang semakin bertambah, Israel
melaksanakan polisi menarik kebenaran tinggal di Jerusalem bagi rakyat Palestin
yang tidak dapat membuktikan mereka penduduk asal di sana. Polisi ini
menyebabkan lebih 1,600 rakyat Palestin dan keluarga mereka ‘dipindahkan’ pada
tempoh 1996-1998, menurut laporan rasmi Israel. (2)
Penguasaan
berterusan Israel keatas kehidupan rakyat Palestin menambahkan dendam dan
ketidakpuasan hati mereka. Rakyat Palestin melihat proses damai ini gagal dan
satu lagi penipuan Israel bagi meneruskan agenda penjajahan dan membeli masa
meluaskan kawasan penempatan haram. Hal ini secara tidak langsung membawa kepada
tercetusnya intifada ke-2. Menurut Muhammad Dahlan, wakil rasmi keselamatan
Palestin, intifada “tidak berlaku kerana perancangan atau niat jahat tetapi
kerana desakan keatas rakyat Palestin setelah 7 tahun tanpa tiba ke persetujuan
akhir… Intifada berlaku kerana hilangnya kepercayaan kepada perjanjian damai.”(3)
Amira Hass, jurnalis Israel menyatakan bahawa, “Intifada tercetus kerana
rakyat Palestin sudah letih dengan situasi penaklukan yang menggunakan
nama-nama lain.” (4)
Intifada dilancarkan
Pada peringkat
awal, intifada bercirikan demonstrasi besar-besaran, lontaran batu dan
ketidakpatuhan sivil, bermula dari Baitul Maqdis dan merebak pantas sehingga ke
Tebing Barat dan Gaza. Rusuhan demi rusuhan dibalas dengan represi bersenjata
berskala besar dari tentera Israel, termasuklah peluru bersalut getah dan
peluru hidup, diikuti dengan helikopter dan kereta kebal. Pembunuhan terancang
dijalankan dan pencerobohan tentera ke kawasan A Occupied Palestinian
Territories (OPT). Dalam masa 5 hari intifada, 47 rakyat Palestin dibunuh dan
1,885 cedera, 80% dari mereka (menurut Amnesty International) tidak memberikan
sebarang bahaya kepada tentera Israel. 5 warga Israel dibunuh dalam tempoh yang
sama. (5)
Dalam bulan
pertama, Israel menembak lebih 1,300,000 peluru, dengan purata 40,000 peluru
sehari. Sebahagian penganalisis menyebutkan bahawa kekuatan besar tentera
Israel adalah sebab utama fasa protes popular Palestin berakhir dengan cepat
dan diikuti oleh penentangan bersenjata. Walaupun pengeboman berani mati adalah
karakter penting dalam intifada ke-2, ia hanya bermula selepas lebih sebulan
intifada dilancarkan. (6)
Antara peristiwa
yang akan kekal menjadi memori tragik buat rakyat Palestin dan Israel dari
intifada ke-2 ialah pembunuhan Muhammad al-Durrah, kanak-kanak Palestin berumur
12 tahun dan pembunuhan di Ramallah terhadap 2 orang tentera simpanan Israel
oleh polis Palestin. (7) Komuniti Palestin di Israel turut
berdemonstrasi, membawa kepada Peristiwa Oktober 2000, dimana 12 warga Israel
Palestin dibunuh oleh tentera Israel.
Intifada al-Aqsa: berjaya atau gagal?
Intifada pada
kali ini mempunyai kesan yang besar kepada Palestin dan Israel. Sehingga tahun
2006, lebih 4,000 rakyat Palestin, kebanyakan mereka tidak bersenjata termasuk
800 kanak-kanak telah dibunuh oleh tentera Israel dalam siri pengemboman dan
penembakan keatas kawasan perumahan dan kem pelarian yang berpopulasi padat
sepanjang Kawasan Penjajahan (Occupied Territories). Pada waktu yang sama,
1,100 warga Israel, 770 dari mereka rakyat awam dan 120 kanak-kanak dibunuh
oleh kumpulan bersenjata Palestin dalam serangan penembakan, bom berani mati di
kawasan terbuka dan serangan roket secara rambang. Ribuan lagi tercedera dari
kedua-dua pihak.
Dari aspek global,
intifada al-Aqsa telah berjaya perhatian dan menarik simpati masyarakat dunia
terhadap perjuangan rakyat Palestin. Kekejaman Israel dan imej di televisyen
dimana kanak-kanak ditembak peluru tentera Israel ketika membaling batu kearah
kereta kebal menyebabkan gelombang sokongan sivil terhadap Palestin melonjak.
Israel mengalami
tekanan psikologi yang besar dan hal ini jelas apabila kerajaan mereka terpaksa
menggaji seramai 120,000 pengawal keselamatan di kafe , restoran dan
pusat-pusat sosial bagi mencegah serangan bom berani mati Palestin. Rakyat
tidak merasa selamat, kurang pengunjung luar dan semakin banyak syarikat
menempatkan semula pejabat mereka di negara lain. Akibatnya ekonomi juga
merudum sejak tahun 2000.
Namun begitu,
harga yang tinggi terpaksa dibayar oleh rakyat Palestin. Sekiranya intifada ini
dilancarkan agar rakyat Palestin dapat menikmati hidup yang lebih baik di Gaza
dan Tebing Barat, ia telah gagal. Pengawalan semakin ketat di OPT dan pihak
berkuasa Palestin memegang lebih kecil kuasa dari awal penubuhannya.Tentera
Israel telah menghancurkan lebih 3,000 rumah dan merosakkan ribuan lagi.
Sebahagian besar tanah pertanian, tanah hakmilik awam dan peribadi juga
dimusnahkan. Ribuan rakyat Palestin tidak mempunyai rumah dan puluhan ribu
kehilangan sumber pendapatan. ‘Dinding Keselamatan’ juga mula dibina pada tahun
2001, memisahkan rakyat Palestin dari keluarga dan tanah mereka. (8)
Pengangguran di Occupied Territories mencapai hampir
50%, 2/3 dari populasi Palestin hidup dibawah garisan kemiskinan, bilangan bayi
yang mengalami kekurangan zat dan masalah kesihatan lain turut bertambah, dan
dapatan produk domestik menurun 50%, menurut Bank Dunia.
Majlis
Keselamatan PBB berulang kali mendesak Israel menarik diri dari kawasan yang
telah dikuasai sejak 1967 sebagai sebahagian dari perjanjian damai dengan
jiran-jirannya, merobohkan dan menghentikan pembinaan penempatan di kawasan
yang dijajah. Namun Israel tetap berdegil seperti mana keengganan mereka untuk
patuh dengan resolusi-resolusi PBB sebelum ini. ‘Road Map for Peace’ dilancarkan
hasil inisiatif Kuartet ,terdiri daripada Amerika Syarikat, Rusia, Kesatuan
Eropah dan PBB mencadangkan penyelesaian 2 negara bagi mengakhiri konflik ini.
Namun begitu, usaha ini juga gagal.
Penutup
Sekalipun kita
melihat rakyat Palestin secara nisbah mengalami kerugian yang lebih besar
berbanding Israel, akan tetapi intifada al-Aqsa adalah merupakan peristiwa
penting kerana kesan-kesannya secara tidak langsung membuka peluang-peluang
lain kepada perjuangan rakyat Palestin. Pertama, masyarakat Palestin mula sedar
bahawa mereka tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada kuasa luar dan
pemimpin politik mereka khususnya Fatah dan PLO bagi memperjuangkan hak mereka.
Selama berpuluh-puluh tahun mereka bergantung harap kepada negara-negara Islam
dan dan Arab akan tetapi mereka terus dikhianati, apatah lagi Amerika Syarikat
sebagai broker atau orang tengah. Rakyat Palestin juga sedar bahawa tindakbalas
‘non-violence’ yang berkesan dan efektif amat diperlukan bagi meraih sokongan
dunia global secara moral. Pada tahun 2005, hasil kerjasama lebih 170
pertubuhan sivil Palestin, ‘BDS Movement’ telah ditubuhkan bagi menerajui usaha
ini. (9)
Kedua,
pengunduran Israel dari Semenanjung Gaza. Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon
pada Disember 2003 mengumumkan Pelan Pengunduran bertujuan untuk ‘meningkatkan
keselamatan rakyat Israel, mengurangkan beban kepada Angkatan Pertahanan Israel
(IDF) dan mengurangkan pergeseran antara Israel dan Palestin’. Pengunduran ini
mendapat sokongan dari 60% rakyat Israel dan hampir keseluruhan rakyat
Palestin.
Ketiga, HAMAS
menjadi suara politik rakyat Palestin. Pilihanraya Legislatif Palestin pada
tahun 2006 menyaksikan kemenangan besar kepada parti politik Islam tersebut
dengan memenangi 74 kerusi dari 112 kerusi yang dipertandingkan. Hal ini
menjadi kejutan buat seluruh dunia khususnya Israel dan Amerika kerana mereka
sama sekali tidak menjangkakan sebuah “organisasi pengganas” akan menjadi parti
pilihan rakyat. Populariti Fatah yang kian merudum diburukkan lagi apabila
kalah dengan hanya memenangi 45 kerusi.
Hari ini kita
sedang menyaksikan kebangkitan ke-3 dilancarkan dan setakat bulan Oktober lalu
lebih 72 rakyat Palestin dibunuh, 2,130 tercedera dan 1,350 ditangkap.(10)
Tiada siapa mampu menjangka pasti hasilnya. Akan tetapi, tindakan tunggu
dan lihat tidak lagi wajar kerana segala bukti telah jelas dan nyata. Selagi
mana penjajahan dan polisis diskriminasi Israel diteruskan, maka kita
sebahagian dari masyarakat sivil seluruh dunia mesti berganding bahu
mengakhirinya melalui pelbagai metod seperti sebaran maklumat di media sosial,
menjalankan program dan kempen bagi mendidik masyarakat di lokaliti
masing-masing, serta boikot yang berterusan secara strategik dan kolektif
keatas Israel.
(1) The Foundation for Middle East
Peace (fmep.org)
(3) An
interview with Muhammad Dahlan, "A Palestinian View - Nothing tangible was
on the table," http://bitterlemons.org, 15 July 2002,
edition.
(4) Amira Hass,
"They Don't See the Occupation," Ha'aretz, 22 August 2001
(5) Amnesty International ISRAEL
AND THE OCCUPIED TERRITORIES: BROKEN LIVES - https://www.amnesty.org/en/documents/mde15/083/2001/en/
(6) Second Intifada http://www.justvision.org/glossary/second-intifada
(7) On October 12, 2002, at the
onset of the Second
Intifada, two Israeli army reservists were captured by Palestinian
police in the West Bank city
of Ramallah and brought to a Palestinian police station where they were killed
and mutilated by a civilian mob. Footage of the event was broadcast by Israeli
and international TV and was, for Israelis, one of the enduring images of the
Second Intifada, particularly a photo of one of the men who participated in the
killing triumphantly holding his blood stained hands out of the police station
window. See "Lynch mob’s brutal attack,"
Martin Asser, BBC, October 13, 2000.
(8) Amnesty International
Israel/Occupied Territories: Road to Nowhere
https://www.amnesty.org/en/documents/mde15/093/2006/en/
(9) BDS Movement.net http://www.bdsmovement.net/bdsintro
(10) The Last 10 Days 30 Days
in Palestine http://www.24fm.ps/
Ulasan
Catat Ulasan