Pagi yang indah bersama ikhwah

بسم الله الرحمن الرحيم

Khamis,8 Disember 2011

Seusai menghadiri forum Maal Hijrah yang dianjurkan Perubatan Cawangan Iskandariah,ana berhajat untuk terus pulang menyertai sahabat-sahabat dalam program MABIT(sleep over) di rumah salah seorang ikhwah di Ibrahimiyyah.Biasanya khidmat ikhwah yang tinggal di luar diperlukan untuk menjadi musyrif buat para akhawat dalam apa-apa program yang dijalankan pada waktu malam.Tapi pada malam tersebut ana tidak mendapat sebarang panggilan maka tugasan musyrif ana tiada pada malam Jumaat tersebut.Ana bergegas pulang ke rumah dahulu untuk mengambil apa-apa yang perlu,tambahan pula rumah ana juga di ibrahimiyah,berdekatan dengan destinasi yang ingin dituju.

Dipendekkan cerita,dalam pukul 10 malam ana keluar dari rumah menuju ke lokasi berkenaan seorang diri.Jalan sepanjang laluan ana ke Syari' Abu Qir sesak dengan kereta dan manusia,memandangkan keesokannya adalah hari cuti.Kesejukan malam pasti akan menggigit-gigit tubuh ini jika tidak memakai pakaian yang secukupnya.Tiga lapis baju sudah memadai untuk mengharungi malam bersuhu 11°C tersebut. Perjalanan mengambil masa 20 minit.Di kiri dan kanan ada beraneka jenis kedai,ada yang menjual buah-buahan,barang-barang runcit,ada juga kedai-kedai shisha di mana ramai lelaki golongan umur pertengahan duduk berdiskusi,atau menikmati suasana malam sambil minum teh dan tidak ketinggalan mereka yang menonton perlawanan bola sepak beramai-ramai. Troli kayu dua tayar yang menjual sayur,buah-buahan atau roti biasa kelihatan di mana-mana selain kedai-kedai asir(jus) yang menjual bermacam-macam jenis jus buah-buahan.


Tetapi perjalanan malam itu tidaklah semudah yang disangkakan.Ana beberapa kali tersilap jalan dan masuk ke lorong yang salah.Ana berhubung dengan tuan rumah namun masih belum berjumpa bangunan yang dimaksudkan.Sebelum ini ana memang pernah pergi ke rumah tersebut,maka ana tidak begitu menjangkakan kesukaran mencarinya sekali lagi.Tetapi apakan daya,Allah lebih bijak merancang.Hati ana panas pada kesejukan malam itu atas perkara yang kecil.Astaghfirullah..

Hati ini terdetik,'apa niat sebenar aku datang malam-malam ni?'belum sempat ana bermuhasabah lebih lanjut,satu suara berbunyi,

"Adib"ana terkejut apabila ditegur seorang sahabat tahun dua,Faisal yang merupakan jiran sebangunan ana.

"Enta nak ke mana ni?"tanya Faisal dan ana serentak.Sejuknya malam itu,ana tidak dapat menjawab,mahupun bertanya dengan lancar.Sebagai menghormatinya ana menjawab soalan tersebut dahulu dengan gagap.Lalu dia membawa ana ke bangunan tersebut yang hanya beberapa langkah dari tempat ana berdiri beberapa minit yang lepas!MasyaAllah,betapa Allah nak tunjuk kelemahan diri ana ni.Tiada apa pun perkara yang kita boleh lakukan tanpa Allah.

Faisal meminta ana mengirimkan salamnya kepada tuan rumah lalu meminta diri.Syukran akh!

Tibanya di apartment di tingkat 14,ana disambut oleh ahli-ahli rumah.Pada malam itu kami menikmati sedikit juadah halawani(halawiat) yang memang tidak asing di mulut ana.Kemudian kami bersama-sama membaca surah al-Mulk dan akh Imran Ali menyampaikan sedikit tazkirah yang santai dan menarik berkenaan menjauhi sifat lengah.Akh Murtadha yang mempengerusikan majlis mengingatkan kami tujuan sebenar datang ke program tersebut,antaranya,

"adakah datang kerana ingin menjaga hati naqib?
Ataupun kerana tidak mahu dianggap malas?
Atau kerana mahu tunjuk bahawa aku boleh bangun qiam?
adakah kerana ingin menikmati makanan yang sedap sedap dan free?
kerana diajak kawan-kawan baik?"

Benar.Niat yang benar itu adalah sangat mustahak bagi penerimaan amalan.

Kami tidur di ruang tamu yang luas dan cukup untuk lebih kurang 15 orang.Pagi tersebut qiamullail dilakukan secara bersendiri,diiringi solat Subuh yang diimamkan oleh akh Hafizuddin yang membacakan surah as-Sajdah.Bacaannya merdu dan tartil. Selepas solat,kami membaca al-Mathurat bersama-sama.Kemudian pengisian ilmu disampaikan oleh akh Ammar Abdul Rahman berkenaan politik semasa Mesir,serta isu semasa  di negara-negara Arab.Isu Mesir adalah perkara yang penting kerana ia melibatkan masa depan masyarakat islam,bukan sahaja di Mesir tetapi seluruh dunia.Ketika ini,seluruh dunia sedang mengikuti perkembangan politik Mesir atas beberapa sebab:Mesir adalah tempat diasaskan Ikhwanul Muslimin(IM),andai kata tiadanya IM,sukar membayangkan keadaan masyarakat islam ketika ini.Mesir juga bersempadan dengan negara haram Israel.Mesir juga mempunyai paling ramai ahli-ahli profesional dalam banyak bidang berbanding negara-negara Arab yang lain,nak menunjukkan qawiynya Mesir.Perlu diingatkan juga tentera Mesir adalah antara yang terbaik di dunia,dan hanya mereka yang pernah mengalahkan Israel,sebagai contoh dalam perang Enam Hari 1973.

Kemudian juadah sarapan roti coklat dan roti bersapu jem menjadi santapan kami.Ana merasakan kehangatan ukhwah di sebalik kedinginan pagi itu,yang mencairkan hati-hati yang ego,melembutkan jiwa-jiwa yang keras dan melenturkan bibir-bibir untuk memuji Allah dan saling berbalas senyuman antara kami.Walaupun program ini tidaklah besar,namun maknanya besar buat diri ana,dan rakan-rakan yang turut serta.Semoga Allah memberkati sekalian yang berpayahan menjayakan program ini.Alhamdulillah=)


pergantian siang dan malam tanda kekuasaan Allah

menikmati pemandangan ciptaanNya


berborak dan makan,ukhwah!

Ya Allah,Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini
berkumpul kerana mengasihiMu,

bertemu untuk mematuhi perintahMu,

bersatu memikul beban dakwahMu,

hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu,

maka eratkanlah ikatannya,
kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini,
tunjukkanlah kepada hati-hati ini jalan yang sebenarnya,
penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung padam,
lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman,
dan keyakinan serta keindahan tawakal kepadaMu,
suburkan hati-hati ini dengan pengetahuanMu yang hakiki,

jika Kau takdirkan kami mati,maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam
perjuangan agamaMu.

"Engkaulah sebaik baik sandaran dan sebaik-baik penolong."



Wallahua'lam

Ulasan

  1. gembira melihat sahabat2 yg jauh menuntut ilmu menimba pengalaman di bumiNYA..selamat meneruskan perjuangan di sana..Allahu yusahhil..

    BalasPadam
  2. “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit“. -Riwayat al-Bukhari

    BalasPadam
  3. amin.semoga Allah memberkati perjuangan kita walau di mana kita berada.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

The Legend of Kagutaba Village

The perks of doing elective posting.

Talking about mental health