Menjadi murabbi seperti Zulqarnain
kredit foto |
Mengambil pengajaran dari kisah Zulqarnain
Kisah Zulqarnain hanya disebut sekali di dalam al-Quran, iaitu di dalam surah al-Kahf, dari ayat 83 sehingga ayat ke-98. Sebagaimana dalam banyak kisah lain didalam al-Quran, seperti kisah Musa dan Khidr, 2 pemuda yang memiliki kebun dan para pemuda al-Kahf; semuanya diceritakan dalam surah yang sama, Allah tidak memberikan maklumat secara terperinci seperti,
- siapakah dia dalam sejarah?
- hidupnya pada zaman bila?
- berapa besar kekuasaan dan tenteranya?
- siapa bangsa-bangsa yang ditemuinya?
Ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana tujuan utama adalah supaya kita boleh mengambil pengajaran darinya. Segala fakta dan maklumat lain hanyalah secondary. Bahkan Allah menempelak mereka yang mencuba-cuba untuk bertanya soalan-soalan yang tidak munasabah, kerana ianya tidak langsung memberi manfaat kepada mereka.
Zulqarnain contoh teladan kita
Apabila kita membaca kisahnya, kita akan membayangkan sebuah sosok yang mengagumkan. Seorang figura pemimpin yang harus diteladani oleh para pemimpin pada hari ini. Seorang murabbi, pendakwah juga sebenarnya boleh mengambil pengajaran dari Zulqarnain. Kita akan selami satu-persatu.
1. Kesediaan mendengar permasalahan mad'u. Seorang murabbi harus mempersiapkan diri mendengar permasalahan mutarabbi. Hal ini ditunjukkan oleh Zulqarnain apabila dia bertemu dengan sebuah kaum yang "Laa yakaaduna yafqahuna qaula", hampir tidak memahami pembicaraan. Mufassirin menjelaskan, "Mereka tidak dapat memahami bahasa orang lain, kerana bahasa mereka sangat jauh berbeza, dan mereka tidak dapat menerangkan maksud mereka dengan jelas kerana keupayaan akal mereka yang terbatas".
Kita boleh melihat bagaimana Zulqarnain berupaya memahami mereka kerana dalam ayat-ayat seterusnya dia dan kaum tersebut mampu berkomunikasi. Sama ada Zulqarnain mempelajari bahasa mereka sebelum itu atau selepas bertemu mereka, wallahua'lam. Maka disini pengajaran yang boleh kita ambil ialah menyediakan diri dengan ilmu dan maklumat yang sesuai seperti latar belakangnya, keluarganya agar kita mudah memahami masalah mutarrabbi.
2. Membina perwatakan daie/murabbi kepada mutarabbi. Apabila Zulqarnain ingin menyelesaikan masalah kaum tersebut, iaitu dari diserang Ya'juj dan Ma'juj, dia melakukannya bersama-sama mereka. Padahal boleh sahaja Zulqarnain dan bala tenteranya mengambil alih tugas mempertahankan kaum tersebut sepenuhnya dan memerangi Ya'juj dan Ma'juj. Akan tetapi tidak, dia sedang membina mentaliti kaum tersebut untuk membina kekuatan sendiri, tidak bergantung semuanya pada orang lain.
Perkenalkan mutarabbi kita dengan jalan dan tugas dakwah. Libatkan mereka dalam usaha takwin dan tajmik. Sesuatu kerugian apabila mutarabbi berterusan dipandang sebagai mutarabbi, tanpa merasa keperluan mengubah pengisian dan mentaujih mereka untuk menjadi murabbi. Hal ini penting bagi penerusan dakwah itu sendiri.
3. Keperluan ilmu bagi menyelesaikan masalah. Kejayaan Zulqarnain membina dinding yang melindungi kaum tersebut dari serangan Ya'juj dan Ma'juj adalah hasil keupayaan ilmu kejuruteraan yang tinggi, jauh melangkaui zaman tersebut. Bahkan ilmu tersebut mampu diwariskan kepada kaum tersebut. Seorang murabbi tidak akan mampu mengisi sekiranya dia sendiri tidak diisi.
4. Ikhlas kerana Allah. Seorang daie tidak mengharapkan apa-apa balasan dari mad'unya. Zulqarnain sendiri tidak menerima apapun apabila ditawarkan imbalan atau upah dari kaum tersebut. "Apa yang telah dianugerahkan Tuhanku kepadaku lebih baik".
Tugasan dakwah bukanlah seperti pekerjaan di dunia yang habuannya berbentuk material. Dakwah Nabi Nuh selama 950 tahun, namun hanya sebilangan kecil yang beriman dengannya. Akan tetapi nilaian Allah bukanlah pada hasil duniawi yang diperolehi. Ini juga mengajar para murabbi agar tidak berputus asa dan kecewa sekiranya berdepan dengan khalayak yang menolak dakwahnya. Akan tetapi ini juga menuntut seorang daie untuk mengerahkan usaha yang terbaik sebagai sebab berjayanya dakwah.
5. Mengembalikan semuanya kepada Allah. Ini adalah antara aspek yang terpenting untuk diterapkan dalam seorang murabbi itu mendidik mutarabbinya. Seperti yang telah disebut dalam poin sebelum ini, Zulqarnain menggantikan imbalan kaum tersebut dengan "yang lebih baik dari Allah". Begitu juga dalam ayat 98, setelah dinding berjaya didirikan, beliau berkata "Dinding ini adalah rahmat dari Tuhanku". Dalam apa jua permasalahan yang dialami, tanamkan konsep Rabbaniyyah dan Ubudiyyah.
Semoga kita sama-sama mendapat manfaat dari perkongsian ringkas ini dan diaplikasikan dalam segenap kehidupan kita sebagai seorang daie. InshaAllah.
Wallahua'lam.
Ulasan
Catat Ulasan