Syria: Bagaimana kefahaman dan sikap kita terhadapnya?
بسم الله الرحمن الرحيم
PEMBUKA KALAM
Segala puji bagi Allah yang memberikan peluang kepada kita untuk hidup dalam islam dan iman. Kerana tanpa iman dan islam tiadalah nilai hidup kita di atas dunia.
Dalam melalui bulan Ramadhan yang mulia ini, kita tidak dapat lari dari isu-isu yang cukup mencabar, sebahagiannya menguji akidah dan pegangan ummah, sebahagian pula meruntun jiwa dan begitu menyakitkan.
Pembunuhan dan kezaliman yang berlaku di Mesir, Palestin dan Syria serta negara-negara lain, khususnya kepada umat islam bukannya perkara yang baru. Kelemahan umat islam adalah kerana jauhnya kita dari al-Quran dan as-Sunnah. Mengembalikan yang haq bukanlah perkara mudah, ia adalah jalan yang panjang dan penuh ranjau. Pada 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah, Rasulullah saw dan para sahabat r.anhum semasa zaman awal dakwah islam juga menerima ujian yang amat besar. Ghazwatul Badr, perang pemisah antara haq dan batil (juga dikenali sebagai al-Furqan) menjadi sangat penting dalam pengembangan syiar Allah sehinggakan baginda saw sendiri menadah tangannya memohon kepada Allahul Wakil dengan sepenuh jiwa:
"Ya Allah, Jikalau Engkau mengalahkan tentera Badar pada hari ini, nescaya tiada lagi manusia yang akan menyembahmu selepas ini"
Allah memperkenankan doa baginda saw dalam surah al-Anfal, mewahyukan para malaikat menyertai tentera islam secara berperingkat;
(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka" (al-Anfal:12)
(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.(al-Anfal:9)
Akhirnya, yang Haq itu pasti akan menang. Itu adalah sunnatullah. Mari kita beralih pula kepada topik perbincangan kita.
SYRIA: COMPASS SETTING
Semalam saya telah mengikuti ceramah Dr Hafidzi Mohd Noor di Masjid Negeri. Beliau merupakan Pengerusi Aqsa Syarif Berhad, ketika ini dipinjamkan kepada i4S(IKRAM for Syria) selama setahun untuk menfokuskan kepada isu Syria yang ketika ini sudah mencapai tahap yang kritikal.
Apabila bercakap mengenai isu Syria, kita harus mempunyai kefahaman yang jelas berasaskan kepada wahyu al-Quran dan Hadith. Hal ini kerana sebahagian kita memahami isu ini dari sisi pandang pengkaji Barat yang kurang tepat. Mereka melihat isu Syria dari aspek negara bangsa, bermaksud hanya merujuk kepada negara Syria semata-mata. Kesan pehamanan begini akhirnya menjadikan umat Islam meletakkan isu Syria kurang penting dan hanya fokus kepada Palestin semata-mata. Ini hakikatnya tidak betul.
Kita mesti memahami bahawa wilayah-wilayah islam semasa dibawah pemerintahan islam, mereka semua bernaung dibawah satu khilafah, kecuali semasa zaman bani Abbasiyyah dan Turki Uthmaniyyah dimana ada beberapa wilayah yang diperintah secara berasingan. Sempadan sewaktu zaman islam tidaklah sama seperti sempadan negara-negara seperti yang dilihat pada hari ini. Maka sebab itulah dalam hadith-hadith kita tidak akan menemui perkataan Palestin, tetapi yang disebut ialah Baitul Maqdis dan juga bumi Syam.
Dr Hafidzi ada menjelaskan dengan lebih dalam berkenaan perkara ini, tetapi cukup untuk kita fahami secara umum bahawa kita harus mengubah paradigma yang melihat isu ini mengikut sempadan negara bangsa yang telah menjajah pemikiran sebahagian besar umat islam hari ini. Pergolakan yang berlaku di Syria tidak boleh dipisahkan dalam perjuangan kita membebaskan al-Aqsa dan Palestin. Syria adalah sebahagian dari bumi Syam. (Bumi Syam merangkumi Lubnan, Jordan, Syria dan Palestin). Maka tidak mahu tidak kita wajib memberi perhatian yang tidak berbelah bahagi kepada Syria sebagaimana terhadap Palestin, bahkan lebih aula mengutamakan Syria melihat kepada keadaan ketika ini.
PERTEMBUNGAN DI SYRIA ANTARA MAZHAB ATAU AGAMA?
Sebelum saya mengulas sedikit mengenai perkara diatas, fahami satu konsep mudah: kezaliman mesti diperangi sehingga tiada lagi kezaliman dengan cara/metod yang digariskan syara' sekalipun dia/ mereka itu muslim.
Mari kita telusuri sedikit latar belakang Basyar dan pegangannya.
Basyar Assad merupakan anak kedua dari 5 adik-beradik. Selepas abangnya mati dalam kemalangan, dia pulang ke tanah air menjadi Presiden Syria pada tahun 2000 berikutan kematian ayahnya, Hafez Assad yang telah memerintah selama 30 tahun. Basyar dan keluarganya menganut pegangan Nusairiyah.
Secara ringkasnya, Syiah terbahagi kepada beberapa kumpulan, yang terbesar adalah Syiah Imamiyyah/Ja'fariyyah atau Syiah Imam 12. Mereka meliputi 90% penduduk Iran dan sebahagian besar penduduk Iraq. Kumpulan Syiah yang lebih kecil termasuklah Syiah Zaidiyyah yang lebih dekat dengan fahaman Ahlus Sunnah, dan Syiah Nusairiyyah. Pengikut Nusairiyyah sebelum itu dikenali sebagai Alawiyyah, mengambil nama Ali bin Abi Thalib ra.
Ajaran ini diperbaharui oleh Muhammad ibnu Nusairi 200 tahun selepas kewafatan Rasulullah saw. Pegangan ini menggabungkan kepercayaan agama Kristian, pagan dan juga Islam. Ia adalah ajaran yang sesat dan digolongkan dalam kumpulan Syiah yang ekstrim. Kesesatan mereka menyebabkan Imam Ibnu Taimiyah, Ibn Kathir dan Ibn Qayyum mengkafirkan ajaran Syiah Nusairiyyah. Oleh sebab itu jika kita lihat penyeksaan dan pembunuhan mereka terhadap umat Islam begitu sadis dan kejam kerana kebencian mereka yang terlalu mendalam dan membengkak sekian lama. Jelasnya Syiah Nusairiyyah (dalam kes ini) sudah terang-terangan keluar dari Islam, dan para ulama telah bersepakat bahawa Syiah Nusairiyyah status mereka kafir.
Kita perlu jelas dengan perkara ini kerana kekeliruan dan kekaburan boleh menyebabkan kita tidak jelas dalam pendirian dan tindakan kita. Segelintir pihak berdiam diri dan sebahagiannya kurang setuju akan tindakan menentang pemerintah Syria, mungkin disebabkan kerana mereka buta sejarah, dan mungkin juga mereka melihat ini adalah konflik sektarian, iaitu pertembungan antara mazhab Sunni dan Syiah secara umum, ataupun berpandangan hal ehwal dalaman Syria tidak patut ada campur tangan luar. Semuanya kembali kepada kenyataan ini: tidak faham.
APA SIKAP DAN PERANAN KITA?
Ini adalah bahagian terpenting bagi merumuskan apa peranan dan tindakan kita setelah memahami penjelasan-penjelasan di atas. Berikut adalah fatwa yang diputuskan oleh Muktamar Syria anjuran al-Ittihad al-Alami Lil Ulama al-Muslimin (The International Association of Muslim Scholars) yang dipengerusikan oleh Prof Dr Yusuf al-Qardhawi) dan Rabitah Ulama Suriyiin (Syria) dari 1 - 3 Julai 2012 di Istanbul, Turki .
1) Wajib bagi umat Islam untuk bersama-sama dengan kebangkitan rakyat Syria kerana perjuangan mereka adalah di antara hak dan batil, di antara keadilan dan kezaliman. Perjuangan mereka juga adalah untuk melawan pemerintah yang membunuh dan menindas rakyat. Dan ini menunjukkan bahawa wajib bagi umat Islam untuk membantu dan menyatakan sokongan kepada umat Islam yang dizalimi.
2) Wajib ke atas setiap pemimpin umat Islam agar menyatakan sokongan dan dokongan kepada kebangkitan rakyat Syria. Sokongan samada dari sudut bantuan kewangan, senjata dan pelbagai bantuan agar kebangkitan mereka mendapat kemenangan. Mereka juga perlu menyatakan sokongan dan memberi bantuan senjata kepada Tentera Pembebasan Syria yang telah berjihad dan berjuang melawan regim Basyar yang zalim.
3) Haram bagi umat Islam menyatakan sokongan dan dokongan kepada regim Basyar mahupun sekutunya dari sudut ketenteraan, harta benda, sokongan politik dan sebagainya.
4) Merupakan kewajipan untuk menyokong golongan yang memperjuangkan kebenaran. Maka, tidak ketinggalan kepada para alim ulama' dan juga pemikir Islam agar menyatakan sokongan dan dokongan mereka terhadap kebangkitan rakyat Syria. Dan haram bagi mereka diam membisu melihat kezaliman demi kezaliman berlaku di Syria.
5) Haram membunuh di atas dasar hawa nafsu dan juga kepuakan. Haramhukumnya membunuh dan menumpahkan darah tanpa hak. Akan tetapi apabila berada di dalam medan jihad, maka ia merupakan kewajipan untuk mempertahankan maruah diri dan juga agama. Kami juga mengingatkan kepada Tentera Pembebasan Syria agar berjihad tujuannya adalah untuk mempertahankan maruah diri, agama dan juga negara bukan kerana lain.
Saya menyeru buat diri dan rakan-rakan agar menginfaqkan diri untuk menyumbang dalam apa jua bentuk, khususnya menjadi speaker isu Syria, memberikan penerangan kepada masyarakat sekitar kita sehinggalah Syria bebas dari kezaliman Basyar Assad. Kemenangan islam adalah pasti. Tetapi sebelum itu kita perlu persiapkan diri dengan ilmu dan kefahaman yang jelas. Dr Hafidzi ketika ini sedang rancak melakukan roadtour ke seluruh negara bagi memberikan pengisian dalam program Training of Syria Speakers (TOSS), antum boleh ikuti page i4S (IKRAM for Syria) ataupun profil fb Dr Hafidzi Mohd Noor sendiri. Sama-sama kita menjadi asbab kemenangan ummah, dan sama-sama menjadi sebab agar Allah terus menerima kita untuk terus tsabat di jalanNya.
Ustaziatul alam (kesejahteraan alam) cita-cita umat ini. Peace! |
“Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara dosa dan permusuhan”. (Al-Maidah:2)
“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya” (HR Bukhari)
Wallahua'lam.
Ulasan
Catat Ulasan