Ikhlas itu Bebas

بسم الله الرحمن الرحيم


Sekadar perkongsian buat jiwa-jiwa yang ingin disentuh hatinya.Selamat membaca:) 


"Ikhlas itu 'khalas',dalam bahasa Arab ertinya habis,licin-licau,sehabuk pun tak ada."

"Ertinya,orang yang ikhlas itu tidak ada sesuatu apa pun di dalam hatinya,melainkan Allah.Dia berbuat kerana dan untuk Allah semata-mata,"tambah saya lagi.

"Apa kaitannya semua ini dengan masalah saya?Soalnya,saya sangat tertekan dengan isteri saya.Stres saya dibuatnya.Apa sahaja yang saya buat tidak kena.Ada-ada sahaja kerenah dan masalahnya.Padahal saya ikhlas."

"Maksud awak orang ikhlas akan stres?"jolok saya perlahan.

"Ya,kekadang kita ikhlas memberi,isteri pula tidak ikhlas menerima.Kalau sama-sama ikhlas kan baik.Tak stres."

"Awak tahu rahsia kegagalan?"tanya saya seolah-olah mengalih arah perbualan.Dia nampak tersentak. Telah dua kali saya cuba mengeluarkannya daripada kotak pemikiran yang sedia ada kepada kotak pemikiran yang lain- think outside the box,kata orang.

"Pelik,selalunya orang lebih tertarik dengan rahsia kejayaan berbanding rahsia kegagalan."

"Siapa yang tidak tahu rahsia kegagalan tidak akan berjaya."Tegas saya.Dia senyum.Tanda setuju.

"Apa dia rahsia kegagalan?"tanyanya.Saya senyum.Pancingan saya mengena.Umpan saya telah "dimakan".

"Cuba menyukakan hati semua orang!"jawab saya.

"Kenapa,salahkah cuba menyukakan hati semua?"

"Tak salah.Tapi sebagai makhluk kita tidak akan mampu.Justeru,siapa yang cuba menyukakan hati semua orang,akan berakhir dengan semua orang tidak akan suka kepadanya."

"Betul tu,kalau saya cuba menyukakan hati isteri,kekadang menyinggung perasaan ibu dan adik-beradik saya.Bila saya cuba menyukakan hati adik-beradik,isteri pula tidak suka.Stres.Mana jalan keluarnya?"

"Awak mesti ikhlas!"

"Ya Rabbi,apa ni?Kejap ke sini,kejap ke sana hala perbualan kita ni."

"Taklah,kita ke sana untuk ke sini."Balas saya bermain kata-kata.

Dia senyum.Saya senang sekali dengan senyumannya.

"Apa kaitannya ikhlas dengan rahsia kegagalan?"

"Orang ikhlas akan berjaya.Orang yang tidak ikhlas akan gagal."
"Mengapa?"

"Orang ikhlas hanya ada satu Tuhan untuk dijaga dalam hidupnya.Manakala orang yang tidak ikhlas punya ramai 'tuhan-tuhan kecil untuk dijaga."

"Maksud awak,orang yang ikhlas hanya berbuat sesuatu untuk mendapat keredaan Allah yang Satu.Sedang orang yang tidak ikhlas berbuat sesuatu untuk mendapat keredaan ramai manusia."

"Jika kita berbuat sesuatu hanya untuk Allah-insyaAllah,Tuhan akan reda.Itu rahsia kejayaan."tambah saya.

"Tetapi sekiranya kita cuba menyukakan hati semua orang,semuanya akan benci.Dan itulah punca kegagalan. Kan gitu?"

Saya mengangguk.

"Saya rasa terbelenggu betul dengan sikap isteri dan adik-beradik saya sejak kebelakangan ni.Hidup saya serba tidak kena.Diluah mati emak,ditelan mati bapa."

"Orang ikhlas itu bebas!"kata saya pendek.Mengingatkan diri saya juga.

"Terus terang saya akui,saya tidak bebas.Ertinya,saya juga tidak ikhlas."

"Jangan mengeluh begitu.Saya pun sama juga.Tidak bebas sepenuhnya.Masih lagi bertatih dan berlatih.Semua orang juga begitu.Yang penting jangan labelkan diri kita dengan label negatif.Kita hanya fail tetapi bukan failer."

"Bagaimana nak merdeka..ops,nak bebas?"

"Jadi orang yang ikhlas.Jadi hamba Allah.Itulah merdeka sebenarnya."

"Itu terlalu falsafah.Saya nak yang mudah.Yang boleh diamalkan secara realistik dalam realiti rumah tangga."

"Secara mudah,apa sahaja yang Allah tetapkan wajib maka kita lakukan walaupun mungkin isteri kita suka,ibu kita tidak suka.Yang haram kita tinggalkan,walaupun isteri kita tidak suka,ibu bapa kita pula yang suka.Yang penting bukan kesukaan manusia,tetapi kesukaan Allah."


"Kalau semua mereka tak suka macam mana?"geleceknya licik.

"InsyaAllah,ada manusia yang akan suka apabila kita disukai Allah."

"Tetapi tidak semuakan?Itu problemnya."

"Hanya manusia yang sukakan Allah akan menyukai manusia lain yang juga sukakan Allah.Cinta yang satu akan menyatukan manusia."

"Tetapi tidak semua kan?"ulangnya sekali lagi.

Saya diam.Jelas,penjelasan saya masih tidak jelas lagi.Saya terima kelemahan saya.Bukan kerana kelemahannya.tetapi kerana kelemahan saya.Saya diam mencari-cari makna  dan kata.

"Jika awak diberi pilihan untuk disukai oleh dua orang manusia,pertama manusia yang disukai Allah,keduanya manusia yang dibenci Allah,yang mana awak pilih?"akhirnya saya bersuara.

Jelas,kali ini dia pula yang terdiam.Alhamdulillah.Dia berfikir dalam.Begitu saya mengharapkan.Saya tidak menganggap perbualan satu persaingan tetapi lebih sebagai satu perkongsian.

"Tentu saya memilih untuk disukai oleh orang yang disukai Allah."Dia menjawab akhirnya.

"Ya,itulah jawapannya.Apa gunanya disukai oleh orang yang dibenci Allah?Sukanya tidak memberi manfaat.Bencinya tidak memberi mudarat."

"Ya,kita tidak boleh menyukakan hati semua orang.Kita hanya perlu berusaha untuk menyukakan Allah.InsyaAllah nanti kita akan disukai dan menyukai orang yang disukai Allah juga.Dan itulah rahsia kejayaan kita."

Demikianlah terungkainya perbualan kami yang kompleks pada awalnya.Mudah-mudahan kami ikhlas dalam perbualan mengenai ikhlas itu!


dipetik dari buku Nota Hati Seorang Lelaki oleh Pahrol Mohd Juoi

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

The Legend of Kagutaba Village

The perks of doing elective posting.

Talking about mental health