30 Apr 2018

An interview

بسم الله الرحمن الرحيم

2 weeks ago I went into a job interview in KL. It was an interview as a PCC or patient consultant care. It was my first interview in my whole life. I took public transport since it would be easier and cheaper overall. Turned out I got lost and arrived 30 minutes late. A bad impression. When the interview started, it was really more of a briefing of what my job would be. Would i not ask (or interrupt) and add my own view, it would be almost like a lecture.

After I finished, it felt like a burden lifted from my shoulder. I have the inclination that I might just did it. I do not know. But at least I could tell I have experienced an interview, in case anyone asked. haha. Following up, I was contacted from the same company to be assessed for editing and writing articles. As soon as I received the email, I had to refresh my medical knowledge and refer to the textbook, a long lost friend. I submitted my answer earlier than the deadline.

Then I was informed I would be contacted by one of the consultant. He would call me for an online interview. I was not as anxious as the first since I had the glimpse of what might be asked. One day he called me and we had a short interview. I believed I was calm but my words are not as clear as I wanted. I did not ask as much as the previous since I had known what to be expected of the position. He even asked when I want to start, things to do. So I have the feeling that I will get the job.

I went for a meeting at Seri Kembangan, a friend asked if i have a job, I said yes. I even 'bragged' about my job in my family group since I would be needed to take care of my cousin since my sister will be coming for a few days. I even repaired my notebook that was lagging for 2 months to be used for work. 2 days have passed but there is no contact from the HR. I messaged the HR and waited for reply. Exactly two days from the expected date I should come in, I received the message that they looked for another candidate.

It's ok. At least I have learnt something valuable. You may put every effort to achieve a target, but essentially it is not yours to claim. On one perspective, everything comes from Allah, good and bad. From another dimension, is of your part. When you don't get what you wanted, you will need to reassess what can be improved. We muslims need to put our best effort in terms of work ethics, management, knowledge etc, and to put trust in Allah that He will change our circumstances.

If we just put ourselves in one view we would be one of 2 extremes: ones are those saying that everything is from Allah and Allah alone. Nothing that we do can change it. It is wrong. Another extreme is the ones who say everything I do is from me, and me alone. No God can interfere nor change my effort.

Okay then, ciau.

17 Feb 2018

8/40 : Merantau ke Deli - Hamka

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah penguasa dan pemilik sekalian Alam, salam dan salawat atas junjungan Baginda Nabi (SAW) serta keluarga dan sahabat-sahabat RA.

Ini adalah buku ke-8 yang aku berjaya habiskan pada tahun 2018. Dengan izin Tuhan, dengan pace sebegini aku boleh mencapai sasaran 40 buku.

Dalam keghairahan mengejar kuantiti, yang lebih mustahak adalah pada kualiti pembacaan. Jadi apa yang difahami dan dipelajari kemudian mengubah perspektif, cara berfikir dan tindakan itu lebih baik berbanding membaca 10 buku namun hanya secara surface dan tidak membawa sebarang perubahan yang substantial.

5 pelajaran dari novel ini, mulakan!

1. Kehidupan adalah seperti mendaki dan meluncuri gunung-ganang. Sentiasa bergilir sehinggalah tiba di lapangan datar yang dinamakan kematian. Selepas melalui kesukaran dengan sabar dan susah payah, tiba waktu kesenangan- yang juga ujian, apabila terleka maka akan tersungkur dan bergolek jatuh ke bawah. Hidup ini adalah ujian! Senantiasalah membawa bekal taqwa kemana juga pergi.

2. Adat yang mencelakakan. Hamka berulang kali menyatakan keburukan mengikut adat secara membuta tuli. Adat Minangkabau membebankan suami yang tidak boleh memiliki apapun harta perolehan yang diberikan kepada isteri. Harta suami adalah harta isteri, harta isteri adalah harta isteri. Tiada maksud susah dan senang dikongsi bersama. Adat yang tidak suka apabila lelaki dan perempuan dari berlainan bangsa dan keturunan berkahwin, sedangkan sama-sama Muslim. Kerana dia Jawa, maka dia tidak layak mewarisi harta keluarga. Sebaik mana budi dan perlakuan seseorang, jika dia bukan "orang kita" maka dia tidak akan kita bela apabila tua kelak. Adat-adat ini membawa kepada kehancuran ikatan pernikahan.

3. Orang miskin tiada orang perasan, orang kaya semua mengaku keluarga dan sahabat. Betapa busuknya hati sebahagian orang yang hanya berkawan denganmu kerana kiranya harta dan pangkatmu akan menguntungkan mereka. Namun apabila engkau telah jatuh muflis, mereka yang manis wajahnya itu berubah muram dan berlalu pergi. Seolah-olah tidak kenal lagi.

4. Pernikahan itu urusan yang amat berat. Jika berhasrat memperisterikan atau bersuami maka fikirkanlah dalam-dalam. Dapatkan pandangan dari mereka yang berpengalaman dan dipercayai jujur dan ikhlas mahukan kebaikan kita. Dan setelah menikah itupun ujian akan datang. Apa-apa keputusan haruslah dibincangkan bersama, apalagi urusan besar seperti menambah isteri. Jangan 3 hari sebelum bernikah baru ditanya pandangan isteri!

5. Kata-kata manusia bukanlah bukti cinta, tapi apabila diuji itulah bukti. Watak utama Leman berjanji dengan nama Tuhan dan penuh kesungguhan untuk menjaga Poniem sehingga mati, namun akhirnya dia mungkir. Sekali lagi dia berjanji untuk tidak menceraikan Poniem, namun akhirnya kerana ujian yang datang serta pertimbangan yang salah, dia menceraikannya. Begitu pula sebaliknya, apabila diuji dengan kemiskinan, Poniem sanggup menggadaikan emas perhiasannya untuk menjadi modal perniagaan mereka walaupun tidak diminta suaminya. Itulah bukti. Dengan pengorbanan itulah perhubungan menjadi kuat dan setia.

Itu sahaja kali ini, semoga bermanfaat!

19 Jan 2018

1/40: Kisah 25 Filsuf Barat - Matluthfi

بسم الله الرحمن الرحيم

Okey. Sebenarnya masa aku baca buku ini aku tak terfikir lagi tentang projek #40buku, (wow dah ada hashtag), jadi sebab itu jangan tanya kenapa ini buku pertama. Aku cuma ambil mana-mana buku yang ada di library rumah sebelum shoot ke Kuantan.

Apapun, let's start the review.

Ini kali pertama aku baca buku Mat sampai habis, sebelum ini ada je baca sikit buku dia Catatan Matluthfi, cuma tu buku orang jadi tak baca sangat pun. Kita pun maklum Mat ni jenis pelawak sikit, kalau sekali dia tweet memang ribu-raban RT dan likes. Jadi tak peliklah buku-bukunya memang diselitkan lawak yang kadang-kadang hambar. Haha.

Daripada intro dapat kita tahu yang buku ini essentially adalah terjemahan video-video dan buku The School of Life, projek pendidikan pop Alain de Botton, filsuf kontemporari dan penulis British.

Mat nak menyampaikan idea falsafah Barat kepada audiens orang-orang muda di Malaysia dengan cara yang mudah difahami. Kebanyakan kita rasa philosophy ini bidang yang memeningkan, jadi itu isu yang Mat cuba nak tackle.

Dia memperkenalkan 25 tokoh falsafah besar yang kita selalu dengar seperti Aristotle, Plato, Socrates, Nietzche serta lain-lain yang kurang dikenali orang awam macam aku seperti Schopenhaur, Wittgenstein dan Sartre.

Kandungan buku ini disusun secara kronologi zaman setiap ahli falsafah dari zaman Greek sehinggalah abad ke-20. Akan diceritakan secara ringkas biografi, perjalanan hidup serta sumbangan mereka terhadap ilmu falsafah itu sendiri yang menyebabkan mereka diangkat.

Bagi aku buku ini menarik kerana Mat berusaha memudahkan kita memahami bahawa persoalan-persoalan "kenapa? mengapa" telah pun cuba dijawab oleh  manusia sejak ribuan tahun lalu. Dan aku personally berpandangan, memang lah apabila tiada wahyu yang memandu, soalan ini tidak mampu dijawab. Tetapi memang usaha akal sendiri itu boleh jadi amat hampir dengan kebenaran kerana segala yang ada di alam ini memperkenalkan kita kepada Tuhan kerana kita yakin Tuhan yang mencipta serta memberi makna kepada semua. Siapa yang mencari, dia akan menemui.

Kerana itu tak pelik apabila sebahagian konsep dan pegangan filsuf ini adalah sebahagian daripada apa yang diajar dalam tradisi Islam sendiri, seperti Martin Heidegger, apabila ditanya apakah cara untuk hidup dengan lebih baik, dia menyarankan agar meluangkan banyak masa di perkuburan. Sejajar dengan hadith nabi, orang yang cerdik itu ialah mereka yang selalu ingatkan kematian.

Buku yang baik untuk pemula faham falsafah.

Tahniah Mat!

18 Jan 2018

Seruan untuk membaca!

بسم الله الرحمن الرحيم

Buku-buku bagus bagi aku adalah harta karun. Banyak buku diluar sana tapi yang berkualiti, kena mencari. Tahun ini aku sasarkan untuk baca 40 buku dari pelbagai genre. Apalagi aku pun baru sahaja check membership di perpustakaan Shah Alam tadi, aku memang dah berdaftar. Aku pun tak ingat bila aku register.

Apapun lagi mudah, tak perlu beli buku, boleh saving untuk masa depan. 10 buku untuk 3 minggu. Impossible nak baca sebanyak itu, bagi level akulah. Jadi aku cuma pinjam 2 buku, God and Man in the Qur'an tulisan Toshihiko Izutsu dan Kita dengan Islam oleh Syed Hussein Alatas.

Tujuan aku baca banyak-banyak ini bukanlah nak tunjuk pandai ke apa, cuma aku rasa banyak sangat khazanah ilmu yang Allah dah turunkan melalui penulis-penulis ini untuk lebih kenal siapa Dia. Sebab aku percaya Dia. Kau tak percaya, kau bacalah buku, jika penulisnya jujur dan amanah, semua akan membawa kau kepada Tuhan. Penulis buku-buku ini adalah seperti guru yang sedang mengajar kau melalui kata-katanya dalam karyanya. Kiranya berguru tanpa guru fizikal. Kau jangan nak timbulkan isu belajar tanpa guru sesat pulak untuk justify kemalasan kau membaca. Aku tak nafikan memang ada certain buku level tinggi memang perlukan panduan. Kalau baca tak faham, tanyalah orang yang faham. Takkan semua nak orang suap. Haha

Sekarang ni mudah ada e-book, audiobook, nak pinjam online pun boleh.

Apa yang aku akan buat ialah setiap buku yang aku habis baca, aku akan post review secara ringkas supaya kau orang pun akan berminat untuk membuka buku tersebut, atau sekurang-kurangnya korang membaca perkara yang berguna (harapnya lah haha!)

Dan aku rasa budaya membaca rakyat Malaysia ni masih ditahap yang menyedihkan. Statistik Perpustakaan Negara Malaysia menunjukkan mahasiswa membaca secara purata 4 buku setahun, sangat jauh kebelakang dibandingkan dengan negara-negara lain.

Jadi nantikan review yang pertama untuk tahun 2018 minggu ini!

5 Dis 2017

Tidak menang, bukan kalah

بسم الله الرحمن الرحيم

1948 tragedi Nakbah berlaku. Kini sudah generasi ketiga. Dan mereka masih belum dapat pulang ke kampung halaman.

Bagaimana agaknya kekecewaan mereka, berpuluh tahun menanti, sehingga ajal menjemput banyak kembali?

Hanya satu contoh. Anda boleh menambah banyak lagi contoh lain yang berlaku pada skala individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya.

Sekadar pemerhatian, bahawa mungkin sebenarnya hakikat perjuangan adalah sejauh mana tetapnya kita kepada prinsip. Kerana masa yang lama itu akan merenggut tenaga, keyakinan, wang dan segala macam yang kita miliki. Adakalanya tertanya-tanya dan hairan hilang ke mana segala hasil pelaburan ini?

Masa akan menguji adakah kita benar-benar tulus dengan apa yang kita percaya.

Akan ada yang berundur, hilang tanpa dikesan. Ada yang bersama, kini menjadi penonton dari luar gelanggang. Ada yang bahkan pula menjadi musuh mencerca kepercayaannya yang digenggam dahulu.

Sungguh beruntung, fikirku buat mereka yang percaya pada adanya hari Pembalasan. Ada Entiti yang akan menilai segala ini.

Jika tidak, segala yang dibicarakan ini langsung tiada makna. Tiada keadilan, yang kalah terus kalah, yang menang apa kisah!

Jika tidak menang-menang, lihatlah pada dua:
1. faktor diri
2. faktor luaran

Faktor diri diutamakan; apa yang kita pegang, adakah benar? Prinsip hidup bukan main-main, benda yang kita lakukan setiap hari adalah berasaskan kepada apa yang kita percaya. Kenalpasti punca-punca dari diri sendiri dan cuba perbaiki.

Dalam masa yang sama, lihat juga faktor-faktor luaran yang mempengaruhi. Bukan semuanya dalam kawalan kita. Tetapi faktor dalaman adalah kekuatan utama, kerana itu pengaruh luaran memberi 2 kesan yang berbeza pada 2 orang. Externalnya malar, tapi 2 jiwa, akal, tidak sama.

Dan teruslah berjalan- hari demi hari dalam kehidupan adalah manifestasi apa yang kita perjuangkan.

Sehingga kaki berhenti bukanlah kerana tidak percaya lagi, tetapi kerana sudah tiba di destinasi.



15 Nov 2017

Salaka Tariqan

Abdullah ibn Abbas ra would be waiting in front of the house of a sahabah, until he slept and covered in dust just to learn a hadith from him.

Jabir ibn Abdillah ra travelled for 1 month going plus 1 month back just to listen to a hadith.

Imam Malik rah took 35 years to write al-Muwatto', but his students only took a week to wrote down his notes.

Today we could have access to knowledge more than imam as-Syafie and imam Ahmad ibn Hanbal rah could ever been.

How would these experiences impacted them?

Today everything can be googled, purchased on the go and downloaded in pdf and whatnot.

We sometimes forget that part of teaching is to istil adab.

It's really not about the amount of knowledge we have or the gigabytes of soft copy we keep in our hard disks, but the hardships, sacrifice and struggle to gain 'ilm will make us appreciate more.

To adik-adik yang masih belajar di kuliah, make an effort to come to class. Its a huge amanah.

Whoever goes through a road to gain knowledge, Allah will ease his journey towards jannah.

Sekian dari abam tahun 6 atas.

4 Nov 2017

Bukti yang nyata

بسم الله الرحمن الرحيم

Tadabbur.

Tidaklah sama orang beriman dan orang kafir. Pangkat, kekayaan harta, populariti, keturunan & bangsa; ukuran-ukuran yang dipandang tinggi kebanyakan manusia tidaklah menjadi apapun pada mata Allah. 

Kerana itu usah khuatir melihat kurangnya kita pada hal-hal itu, kerana yang dinilai Allah itu adalah keimanan kita. Iaitu iktikad percaya yang teguh tanpa ragu akan kewujudan Allah, keesaanNya dan serta pada Rasul dan al-Kitab kemudian dibuktikan dengan tindakan kita melalui pengabdian kepadaNya dan berbudi dengan manusia- tidak kira siapa.

Di zaman ini yang segalanya kabur dan sukar dibeza baik dan buruk, amatlah bermakna jika kita cuba untuk benar-benar menghayati al-Quran sebagai hidayah "hudan lil muttaqin."




16 Jul 2017

Kalau Saya Mahasiswa

بسم الله الرحمن الرحيم

Petikan dari buku Kalau Saya Mahasiswa tulisan Saifuddin Abdullah:

Sebagai sebuah gerakan, mahasiswa/masyarakat sivil, malahan dalam apa bidang sekalipun, perlu mempunyai rukun perjuangan. Dalam hal ini, saya percaya, ia terdiri daripada tiga perkara, iaitu, idealisme, aktivisme dan intelektualisme. Perkara-perkara ini banyak saya pelajari daripada bekas Presiden ABIM, Dr. Siddiq Fadhil.

Idealisme merujuk pegangan atau prinsip fundamental yang berasaskan dua perkara pokok. Pertama, kecintaan terhadap nilai yang muluk, mulia dan murni. Contohnya, kecintaan terhadap kebenaran, keadilan dan keharmonian. Manakala yang kedua ialah kebencian terhadap unsur yang murah, muak dan mual, contohnya, kebencian terhadap kepalsuan, kezaliman dan kehuru-haraan. Ini diambil daripada ajaran Islam tentang berbuat makruf dan melarang kemungkaran.

Aktivisme pula ialah proses merealisasikan idealisme. Ini termasuk kebijaksanaan menerjemah idealisme agar menjadi langkah-langkah atau tindakan-tindakan yang praktikal. Di sini lahirnya hal ehwal perjuangan seperti kesukarelaan dan pengorbanan. Dalam Islam, ini ditandai oleh konsep berlumba-lumba berbuat kebajikan.

Manakala intelektualisme tidak merujuk menara gading. Sebaliknya, ia merujuk penghayatan budaya ilmu yang berasaskan tiga prinsip, iaitu meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi; setiap individu sentiasa menuntut, menyebar dan mengembangkan ilmu; dan setiap keputusan dan tindakan dibuat berlandaskan ilmu.

Ketiga-tiga rukun ini perlu diamalkan secara bersepadu dan seimbang. Hanya memiliki idealisme dan aktivisme, tetapi tanpa intelektualisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil bersemangat dan rajin berbuat program, tetapi kerana tidakberbekal ilmu, maka ia tidak tahu bagaimana hendak menghasilkan kemajuan dan keberkesanan yang berganda. Hanya memiliki idealisme dan intelektualisme pula, tetapi tanpa aktivisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil bersemangat dan cerdik, tetapi kerana tidak berbuat apa-apa, maka ia tidak akan menghasilkan sesuatu yang praktikal dan konkrit. Manakala hanya memiliki aktivisme dan intelektualisme, tetapi tanpa idealisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil rajin dan cerdik, tetapi kerana tidak berprinsip, maka ia boleh dijual-beli.

Di samping itu, pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil perlu mempunyai sudut pandangan dunia (tasawwur atau world view) perjuangan dan gerakan yang holistik. Ini amat penting bagi memastikan ia mempunyai perspektif yang tepat terhadap makna dan cara perjuangan yang sebenarnya. Ia juga penting bagi memastikan semboyan perjuangan tidak dilaungkan sebagai retorika semata-mata, tetapi benar-benar sebagai komitmen yang terbit dari lubuk hati, yang memungkinkan perjuangan dipacu secara bersungguh-sungguh dan berkesinambungan.

6 Jun 2017

Membetulkan ekstrem sebahagian kita terhadap para sahabat Rasulullah saw


Salah faham kita dalam membaca sirah para sahabat radiallahuanhum adalah konotasi  ekstrem bahawa mereka superhuman sehingga mustahil untuk kita jadikan sebagai role model. Hasrat awal untuk menurut jejak langkah mereka akhirnya berubah menjadi sebuah inferiority complex. 

Hilangnya keterujaan dalam membaca kisah mereka.

Rasanya jauhnya kita, akhirnya biarlah mereka jauh, usah dikejar. 

Letih.

Penat. 

Mana mungkin kita akan jadi seperti Umar yang menginfakkan separuh hartanya dijalan Allah, lalu diatasi Abu Bakr yang menginfakkan seluruh hartanya- hanya Allah dan Rasul buat anak dan isteri?

Nak keluar duit dalam poket pun memilih-milih duit kecil untuk disedekahkan.

Siapa yang tak rasa down?

Kedudukan mereka disisi Allah dan Rasul SAW



Allah telah mengiktiraf kemuliaan para sahabat di dalam al-Quran,



 وَالسَّابِقُونَ الأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللّهُ عَنْهُمْ وَرَضُواْ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ 

Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama masuk Islam di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka pun reda kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar. ” (Surat At Taubah:100)

Rasulullah saw dalam sebuah hadith sahih dari Ibnu Mas'ud r.anhu menyebutkan,

خَيرُ النَّاسِ قَرنِي، ثُمَّ الذَّينَ يَلونَهُم ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلونَهُمْ    
  
 Sebaik-baik manusia adalah mereka yang berada di masaku, kemudian orang-orang yang datang setelah mereka, kemudian orang-orang  yang datang setelah mereka. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Apabila Allah dan Rasul SAW sendiri memuliakan mereka, sudah tentu kita juga diseru agar memuliakan mereka. Pada satu sisi mereka sememangnya adalah manusia 'super' yang tidak mungkin ada lagi manusia yang akan mendapat ketinggian darjat seperti mereka, akan tetapi ada satu lagi sisi yang jarang kita ketengahkan.
Belajar dari kisah Hasan ibn Thabit ra


Semasa persediaan perang Khandaq/al-Ahzab pada tahun ke 5 hijrah, Rasulullah saw memerintahkan agar wanita dan kanak-kanak untuk berlindung sebuah kubu yang digelar al-Fari' atas faktor keselamatan sekiranya berlaku khianat dari Banu Quraizah walaupun mereka berulang kali memberi jaminan untuk berpegang dengan perjanjian.

Selain beberapa orang tua yang tidak mampu berperang serta kanak-kanak, hanya Hassan Ibn Thabit ra lelaki dalam umur yang layak berperang turut bersama dengan mereka. Mengapa?

Abdullah Ibnu Zubayr ra yang berumur sekitar 4-5 tahun ketika itu menyebutkan dari Musnad Imam Ahmad, "Wanita dan kanak-kanak di sebuah kubu bersama Hassan, dan dia seorang yang tidak berani( tidak mampu memegang pedang- disebutkan dia akan menggeletar ketika memegangnya)."

Seminggu kemudian tentera al-Ahzab mula menyerang Madinah, dan Banu Quraizah mengambil keputusan untuk berlaku khianat. Mereka memikirkan cara untuk mengalahkan Muslimin ialah dengan membunuh semua kanak-kanak dan wanita di al-Fari'. Mereka menghantar 2 orang perisik pada waktu malam untuk melihat sejauh mana kekuatan al-Fari'. Sekiranya kubu tersebut tidak dipertahankan, mereka akan menyerang.

Menjelang tengah malam, Safiyyah binti Abdul Muttalib r.anha, ibu saudara kepada nabi SAW mendengar suara dari luar kubu. Bunyi batu-batu dipanjat. Beliau pantas menuju kepada Hassan ibn Thabit ra mengetahui beliau satu-satunya lelaki yang ada dan mengejutkan beliau lalu menyeru, "Bangun dan lakukan sesuatu!". Hassan ra pun membalas, "Semoga Allah merahmatimu tetapi kau tahu aku tidak mampu melakukan hal ini!". Safiyyah ranha dengan segera mengenakan selendang lelaki, mengambil belati lalu digigit di gerahamnya dan melompat keluar dari tingkap.

Dalam kepekatan malam, Safiyyah r.anha mencari lelaki yang cuba memasuki kubu al-Fari', menemuinya dan menyerang hendap sepantas kilat, memenggal lehernya dan mencampakkan kepala lelaki itu ke luar kubu. Melihat kepala rakannya berguling dihadapannya, pengintip itu menjerit ketakutan dan melarikan diri, meyakini kubu al-Fari' dikawal dengan ketat. Safiyyah kemudian menyuruh Hassan memakai perisai dan menghunus senjata, tetapi Hassan berkata, "Aku tidak memerlukannya".

Jelas dari kisah ini mendidik kita banyak perkara. Antaranya ialah:

1. Para sahabat semuanya adalah manusia, dan mereka tidak terlepas dari melakukan dosa dan mempunyai kelemahan. Kisah Kaab ibn Malik, Hatib bin Abi Balta'ah, Umar al-Khattab, semuanya memaparkan sifat manusiawi para sahabat r.anhum. Namun semua itu tidak merendahkan martabat mereka disisi Allah. Allah telah mengampunkan mereka, dan Allah reda kepada mereka. Ketidaksempurnaan mereka itulah menjadikan mereka role model yang sempurna.

2. Disebalik kekurangan Hassan dalam berperang, beliau mempunyai kelebihan lain yang tiada pada Abu Bakr, Abu Hurairah, Ibn Abbas, Aisyah dan lain-lain. Beliau merupakan penyair rasmi kepada Rasulullah SAW. Ketika Quraish membacakan syair terhadap baginda SAW, Nabi SAW berkata "Bangun wahai Hassan dan pertahankan aku, dan Jibril as akan bersama denganmu". Hassan juga memiliki mimbar yang khusus buat dirinya dimana beliau akan berdiri dan bersyair- satu-satunya sahabat yang memiliki mimbar sebegini.

3. Setiap individu mempunyai peranan yang penting dan unik; kelemahan kita, dosa-dosa kita tidak sepatutnya menghalang kita dari berperanan dan menyumbang. Hassan mengakui kelemahannya begitu juga para sahabat, kerana itu tiada yang menghalang Hassan bersama dengan wanita dan kanak-kanak di al-Fari'. Akan tetapi saat Rasul SAW menyeru, "Wahai Hassan pertahankan aku!", adakah Hassan menyatakan "Ya Rasulullah aku tidak layak, aku mempunyai dosa.." atau dia bangkit dan menggunakan segala kelebihannya mempertahankan ar-Rasul?

Jangan sesekali menyerah pada rayuan syaitan yang membisikkan keraguan pada jiwa kita " Siapa kau untuk bertaubat? Siapa kau untuk masuk syurga? Siapa kau untuk berdakwah dengan segala dosa-dosa kau?". Seorang muslim sejati tidak akan sama sekali membiarkan dosa-dosanya menjadi penghalang untuk dia melakukan kebaikan.

Apabila kita memahami kemanusiaan para sahabat pada sisi ini, akan terbina jambatan antara kita dan mereka untuk didekati dan menjadi guru dalam kehidupan kita. Mereka menjadi suri teladan yang realistik dan membumi dalam kehidupan seharian kita. 

Mereka -radiallahuahum- adalah cahaya yang memberi petunjuk kepada pengembara yang mencari arah di kemalapan malam, jika pengembara tahu membaca petunjuk dengan betul.

Wallahua'lam.







21 Apr 2017

Al-Ma'un: Menjadi benar pada jasad dan jiwa

بسم الله الرحمن الرحيم

"Adakah engkau melihat kepada orang-orang yang mendustakan agama?"

Allah menarik perhatian RasulNya saw, dan umumnya kita semua melalui sebuah pertanyaan. Siapa orang-orang yang mendustakan agama? Ad-Din juga pada pandangan lain membawa maksud Hari Kebangkitan itu sendiri. Kedua-duanya adalah makna yang tidak bertentangan. Kerana beriman dengan Islam itu sendiri meyakini pada hari akhirat.

Apa yang akan terlintas pada akal kita?

Mereka itulah manusia yang menolak dengan keras anak-anak yatim. Melihat sahaja anak-anak yatim sudah benci, apatah lagi membantu dan memperlakukan dengan baik. Jika menjadi wakil hartanya anak-anak itu, harta itu juga akan diambilnya tanpa hak.

Mereka itu jugalah orang yang tidak menganjurkan kepada memberi makan kepada orang-orang miskin. Bukan tidak memberi makan, bahkan menghalang orang lain dari memberi makan kepada orang-orang yang memerlukan. Sungguh busuknya jiwa mereka sehingga begitu sekali!

Manusia yang mendustakan hari akhirat itu adalah mereka yang mementingkan diri dan tidak ada sedikit pun rasa belas pada orang-orang miskin. Kerana tidak percayanya bahawa kejahatannya itu akan dibalas oleh Tuhan yang Maha Adil. Jika dia percaya, sudah tentu tidak berani memperlakukan orang-orang yang lemah sedemikian rupa.

Sungguh benar kata-kata bahawa jangan dilihat bagaimana layanan kita terhadap manusia yang setaraf atau lebih dari kita, tetapi lihatlah ketika kita berinteraksi dengan manusia yang lebih lemah daripada kita. Itulah tanda sejauh mana kita beriman kepada Allah ataupun kepalsuan jiwa yang ditutup dengan topeng luarannya.

Lalu Allah mengalihkan perhatian kita pada ciri-ciri yang seterusnya, mereka itulah manusia yang lalai dengan solatnya.

Bukanlah lalai itu terlupa bilangan rakaat kerana itu adalah kelemahan manusiawi. Tidaklah dihukum sebagai saahun di dalam syariat dan dimaafkan.

Akan tetapi lalai itu adalah pada tidak meletakkan fizikal dan jiwanya pada Allah. Dia menunaikan solat dengan rasa malas dan berat, tidak langsung memerhatikan bacaan al-Quran didalam solat, sengaja melambat-lambatkannya tanpa sebab yang munasabah, tidak langsung mengingati Rabb yang sedang disembahnya dalam solat itu.

Mereka ini juga hanyasanya solat kerana riya', mahu dilihat baik oleh manusia lain. Jika tidak ada orang lain bersamanya, maka diapun tidak akan solat, ataupun solatnya lalai dari mengingati Tuhan.

Dan akhirnya, mereka juga enggan menolong walaupun dengan al-ma'un. Sebahagian menyatakan bahawa al-maun bermakna zakat, sebahagian lain memberi pandangan bahawanya bermakna sesuatu yang tidak mungkin habis atau berkurang jika diberi, atau sesuatu keperluan asas; andainya tidak diberikan kepada orang yang meminta, makanya orang itu akan dilihat amat jengkel dan bakhil yang terlaluan.

Jika kita perhatikan, manusia yang mendustakan hari akhirat ini adalah melalui penipuan hatinya dan dimanifestasikan melalui perbuatannya. Adapun dia melakukan kebaikan dan dilihat baik dihadapan manusia, itu hanyalah semata-mata agar dipuji dan terlihat mulia.

Seorang mukmin itu beriman dengan jiwa, lisan serta amalannya. Dihadapan atau dibelakang manusia, dia tetap akan melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

Sama-samalah kita agar sentiasa bertaubat dan memohon perlindungan dari Allah agar kita dijauhkan dari tergolong dalam golongan munafiq.

Wallahua'lam.

Sumber: Tafsir al-Azhar, HAMKA. Tafsir Fi Zilal, SQ.