Afiyah Khadijah
بسم الله الرحمن الرحيم
Bercerita tentang peristiwa besar dalam hidup- walau sebesar mana, pasti akan dilupakan secara sengaja atau tidak.
Maka aku karang disini- harap kekal cukup lama untuk memberi erti kepada anakku dan sesiapa yang ingin mengambil manfaat darinya.
…
Pada pagi 24 Jun 2021, kami dijadualkan untuk mengambil ujian saringan COVID PCR secara pandu lalu di Hospital Pantai; prosedur standard bagi kemasukan wad. Hospital akan membuat ujian ketika isteri telah hamil mencapai tarikh matang 40 minggu jika masih tiada tanda-tanda bersalin. keputusan diterima dalam masa 72 jam.
Kami terus pulang ke rumah selesai saringan.
Setibanya di rumah, isteri saya mula mengalami 'regular contraction' (rahim mengeras secara kerap dan kuat)- antara tanda awal akan bersalin.
Isteri tengah menahan sakit sampai tidak mampu berkata-kata, memegang perut.
Saya terus membawanya ke hospital-tetapi berhenti di pertengahan jalan.
“Sakit lagi ke?” “Dah kurang” “Yang bagi ana check dulu, make sure os dah open, kalau close nanti maybe doktor suruh balik dulu."
Saya berfikir, baik buat VE dulu. Kami pulang ke rumah.
Saya melakukan VE- cervical os open 2cm, station high, no discharge.
Okey dah open, contraction pun sudah regular. Kita admit!
Dari ED terus ke clinic. Pakar O&G kami Dr Hanisah melakukan semula scan dan VE- bukaan os sudah 3cm. Akan masuk ke labour room.
Lebih kurang satu jam di LR, dr Hanisah tiba semula dalam jam 4 petang untuk pemeriksaan semula, bukaan masih 3cm, air ketuban dipecahkan menggunakan amniotic hook- ada moderate meconium stained liquor, dalam layman’s term- bayi berak dalam ketuban.
Keadaan yang berisiko kerana bayi boleh tertelan ‘meconium’ dan menyebabkan masalah pernafasan dan jangkitan paru-paru.
Kami agak terkejut kerana tidak menyangka akan proceed ke emergency caesarean section.
Dr Hanisah menjelaskan keperluan untuk melakukan pembedahan. Bayi berak dan poor progression (bukaan masih 3cm).
“Kena buat caesar?” Isteri saya agak terkedu. “Ya, betul”
Saat menghantar isteri ke bilik bedah- saya tidak lagi mampu menahan air mata.
………..
Saya berhubung dengan Ummi, Mama dan kak Munirah (lebih mesra dipanggil Oni dalam keluarga sebelah sana) memberikan update semasa.
2 jam tersebut adalah antara 2 jam paling panjang yang pernah saya alami.
Dan syukur alhamdulillah.
Doktor Lee, pakar kanak-kanak datang membawa khabar gembira. Anak perempuan kami dilahirkan pada jam 1630H.
Alhamdulillah.
Saya menerima bayi di labour room, setelah SN membersihkannya, saya mengazankan dan membacakan surah-surah ringkas- An-Naas, Al-Falaq, Al-Ikhlas, ayat Kursi serta lain-lain zikir yang terlintas di fikiran.
Beliau adalah tanda kebesaran dan kekuasaan Allah.
Lebih kurang jam 5 lebih isteri saya tiba di wad, saya menemaninya sehingga jam 9 lebih. Wajahnya letih bersama raut menahan kesakitan tetapi tidak lokek dengan senyuman.
‘Afiyah Khadijah’
Alhamdulillah.
Terima kasih isteriku.
Terima kasih semua yang mendoakan dan memberi sokongan secara langsung ataupun tidak.
Pengalaman ini adalah pengalaman yang biasa dialami manusia setiap hari- sehingga kita sendiri mengalaminya- menjadi luar biasa.
Kita rasa amat kerdil dan tidak berdaya-melainkan dengan bantuanNya.
Sekarang umurnya sudah mencecah 8 bulan 10 hari.
Bila ada rakan yang bertanya, bagaimana perasaannya- dia membuat kami letih, tapi dia juga sumber kekuatan dan kegembiraan kami.
Begitulah yang kita pinta dalam doa- “dzurriatina qurrata a’yun” zuriat yang menjadi ‘coolness of our eyes’.
Dan kita juga mesti menjadi pelindung dan memeliharanya dari ‘kepanasan’ fitnah dan noda dunia dan neraka akhirat.
………
Ulasan
Catat Ulasan