Kehilangan 'vocabulary' dalam berbicara satu bencana?

بسم الله الرحمن الرحيم

Menjadi trend antara saya dengan rakan-rakan terdekat, apabila berbicara banyak mengulang perkataan yang sama. Antaranya ialah 'padu', 'ayam', dan lain-lain.

Saya ambil perkataan 'padu' sebagai contoh. Perkataan ini sering dipakai apatah lagi dalam tempoh study leave kerana akan banyak soal jawab,

"Adib, apa most common tumor of anterior mediastinum?"

"thymoma"

"Padu lah"

"Nizam, apa treatment untuk acute MI?"

"Sekian...hmmm...sekian..tertinggal beberapa poin..dan sekian"

"Wow padu lah!"

Dan banyak lagi contoh yang lain. Walaupun jawapan tidak lengkap, banyak lompong, masih lagi digunakan perkataan 'padu'. Sekilas pandang tidak nampak seperti hal yang besar pun.

Tetapi pada saya, kalau difikirkan dengan lebih mendalam, ia adalah simptom bagi 'masalah' yang lebih besar.

Teori saya ialah mungkin kerana tidak cukup perbendaharaan kata, kerana kurang membaca. Adapun membaca sering pada genre yang sama, maka perbendaharaan kata pun berpusing sekitarnya sahaja. Dan kesannya, kita akan mengulang-ulang perkataan yang sama, untuk pelbagai perkara yang berbeza.

Saya juga memikirkan pada praktikalitinya, bagaimana pula jika kita ingin menyampaikan sesuatu perkara, idea, hasrat, tuntutan atau perasaan, namun kerana tidak banyak 'vocab', maka penyampaian itu tidak tepat, atau kurang difahami oleh yang mendengar. Ataupun kita memilih untuk diam sahaja. Kita hanya akan bercakap perkara yang kita rasakan penting untuk survival.

Cuba fikirkan, bila kita datang ke Mesir, apa yang penting? Hal-hal asasi seperti rumah, makanan, pakaian, kenderaan. Apabila selesai hal-hal ini, maka survival kita terjamin. Maka perbendaharaan kata kita hanya berkisar pada item-item tersebut. Semakin bertambah hal-hal yang dirasakan penting, semakin banyaklah perbendaharaan kata kita. Semakin banyak perbendaharaan kata-kata selari dengan peningkatan kadar maklumat, dan bertambah perkara yang difikirkan penting itu. Dan ia menjadi sebuah kitaran yang berterusan.

Rasa kewangan penting, akan banyak mendengar dan membaca tentang kewangan.
Rasa sejarah Mesir penting, akan mencari sumber-sumber dan berjumpa orang Mesir untuk bertanya.
Jadi berbalik kepada persoalan awal, apa masalah yang besar itu?

Saya tidak pasti jika 'masalah' yang saya pandang sebagai masalah ini adalah masalah bagi orang lain, cuma menganggarkan bahawa teorinya adalah:  Apa yang difikirkan penting, itu yang akan dipelajari dan didalami, serta menjadi perbualan, dan itu jugalah akan menjadi praktis- dan begitu juga dalam dakwah.

Bagaimana seorang muslim, pendakwah memastikan apa yang disampaikannya mampu difahami oleh orang lain?

 Saya teringat salah satu tajuk dalam buku Qawaid Dakwah, tentang keperluan seorang daie itu menjadi muballigh.

Dr Hammam Said menyebutkan, seorang da'ie berkewajipan mencapai tahap muballigh dan berusaha untuk menyentuh setiap qalbu dalam penyampaian dakwah.

"Bukankah Rasul-rasul semuanya tidak bertanggungjawab selain daripada menyampaikan (kehendak dan hukum Allah swt) dengan cara yang al-balaghul mubin (jelas dan nyata)" 
(Surah an-Nahl : 35)

Apa yang dimaksudkan dengan 'al-balagh' itu?

Maksud balaghah dari segi bahasa

"Perkataan al-balagh adalah kata akar dari perkataan ba-la-gha bermaksud telah sampai atau hampir-hampir sampai."

Komentar Ibn Faris: Berasal dari satu (membawa satu makna), iaitu 'sampai kepada sesuatu'. Apa seseorang itu mampu menyampaikan sesuatu yang diingininya dengan fasih serta dengan perkataan yang lancar maka orang itu digelar al-balaaghah.

Komentar Al-Azhari: "Berkata orang Arab kepada berita yang telah disampaikan kepada mereka dan mereka tidak dapat memahaminya maka dia telah melakukan keburukan ke atas mereka. "

Secara kesimpulannya (tetapi bacalah syarahan dari buku untuk kefahaman yang bersepadu, saya cuma memberi rumusan ringkas), menyampaikan risalah yang balaghah itu:

1. adalah perintah dan kewajiban
2. daie perlu benar-benar sedar dan peka dengan apa yang disampaikan. Tidak ada proses tabligh tanpa kesedaran sebenar (wa'yun)
3. meninggalkan kesan pada hati mad'u
4. Keutamaan al-fashahah (kelancaran) dan kesejahteraan intonasi dalam menyampaikan kata-kata.

Bukan sahaja menyampaikan, tetapi mencapai tahap al-balaaghah. Dalam perbualan seharian itu ada kata-kata, dan sebaik-baik qaulan ialah menyeru kepada Allah dan amal soleh.

Bahasa yang indah itu
pada kata-kata yang hikmah
tajam menusuk jiwa yang jauh 
baja yang menyubur dan menghidup dari mati
Itulah bahasa dakwah!



Ulasan

  1. Salam. Teruskan usaha menulis, semoga tersebar fikrah yang baik. Tapi satu saya rasa kurang, tarikh setiap entri :D

    BalasPadam
  2. terima kasih atas sokongan. saya sedang usahakan atasi masalah teknikal tersebut.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

The Legend of Kagutaba Village

The perks of doing elective posting.

Talking about mental health