Sekitar Muqaddimah Qawaid Dakwah 1

Pencerahan di sekitar Muqaddimah buku Qawaid Dakwah



بسم الله الرحمن الرحيم

Muqaddimah

Nota: font bold adalah terjemahan dari tulisan penulis buku Asas-Asas Dakwah ke Jalan Allah (قواعد (الدعوة الى الله, Syeikh Dr Hammam Said mantan muroqib Am IM Jordan, dan font biasa adalah penjelasan yang amat daif dan fakir berbanding dengan penulisan beliau. Semoga Allah merahmatinya, dan semoga tulisan ini bermanfaat buat rakan-rakan dakwah semua.


********

Dakwah kepada Allah SWT adalah semulia-mulia amalan dan setinggi-tinggi ibadah serta merupakan ciri-ciri yang paling khusus bagi para rasul yang mulia. Dakwah juga merupakan tugas paling penting bagi para auliyaa' dan asfia' (اصفياء) di kalangan hambaNya yang soleh.

Melihat pada sirah Nabi saw sendiri, bahawa kehadiran baginda SAW, muayashah dan pergaulan dengan sahabat, berperang dan berjihad, makan dan tidurnya Nabi SAW, tidak lain dan tidak bukan hanyalah kerana Risalah yang Agung. Buktinya adalah pada lengkapnya penurunan al-Quran, Rasulullah SAW diangkat bertemu Allah SWT oleh kerana tugasan menyampaikan risalah telah pun sempurna.

Itulah ketinggian dan kemuliaan dakwah!

Tugasan yang besar ini hanya mampu digalas oleh manusia-manusia yang dipilih oleh Allah. Menjadi mukmin itupun cukup sukar, dalam kalangan mukmin pun Allah memilih dari kalangan mereka untuk melaksanakan amanah ini. Semoga kita berusaha dan melayakkan diri bagi membawa risalah Agung ini.

Seseorang itu tidak akan menjadi pendakwah kepada suatu pemikiran melainkan setelah terlaksana gabungan antara dirinya dan pemikiran tersebut, serta dia mampu bertindak balas dengan setiap isu yang berkaitan. Pendakwah kepada pemikiran ini akan hidup bersama pemikiran tersebut sebagaimana pemikiran tersebut hidup bersamanya. Seorang pekdakwah dinilai berdasarkan pemikirannya sebagaimana pemikirannya berpandukan kepada pendakwah tersebut.

وصاحب الدعوة يعيش بها وتعيش به
Pendakwah itu hidup bersama dakwah, dan dakwah hidup bersamanya! 

Muharrik dakwah akan berbicara soal dakwah pada bila-bila masa. Prihatin dan khuatir akan masalah mad'u, anak-anak usrah. Berusaha mencari penyelesaian dan melaksanakannya. Tidak terhad berbincang perihal dakwah ketika qadhaya, daurah dan muktamar, pulang dari program tidak lagi berfikir dan concern tentang dakwah. Sekiranya hal ini berlaku, maka perlu digali akarnya- mungkin pada fikrah dan kefahaman tentang dakwah itu masih perlu diperbetulkan.

Allah SWT telah mengukir jalan bagi dakwah Islam ini dalam sejarah moden di setiap pelusuk negara di dunia. Allah SWT juga telah menjadikan setiap lisan bercakap mengenainya serta memberikan tindak balas mengenainya.

Dakwah telah masuk dalam komuniti masyarakat yang pelbagai. Dakwah tidak lagi dimonopoli oleh kakitangan-kakitangan rasmi atau mereka yang digelar "penganjur upacara-upacara keagamaan", malah gerakan dakwah telah disertai oleh pemuda-pemudi, kanak-kanak, orang tua, serta mereka yang memiliki kepakaran-kepakaran dalam pelbagai aspek keilmuan dan kemanusiaan. Perkembangan ini dapat dilihat kewujudannya di universiti-universiti seluruh dunia yang telah menjadikan ia sebagai binaan yang asas kepada pembentukan universiti tersebut. Malah ia turut membentuk universiti-universiti di Barat.

Peningkatan yang dicapai dakwah Islam ini tidak sunyi daripada menghadapi kesusahan dan ancaman luaran serta dalaman. Antara kesusahan dan ancaman yang dimaksudkan ialah:

1. Kurangnya murabbi dan muwajjih yang berkemampuan berbanding dengan bilangan mereka yang ingin kepada dakwah dalam skala yang besar. Fenomena ini mungkin merupakan perkara yang paling berbahaya kepada dakwah tersebut dan ia perlu diperbaiki segera. Hal ini kerana sebahagian besar daripada masyarakat hidup di luar dari suasana yang baik, yang mana ia memberi kesan kepada pembentukan dan pembinaan masyarakat tersebut, sehingga kebanyakan daripada mereka yang tidak berkelayakan telah mengambil alih tugas pembentukan dan pentarbiahan serta memberikan pandangan dalam hal-hal yang amat penting. Perkara ini berlaku disebabkan ketiadaan mereka yang benar-benar layak dalam hal tersebut.

Berkemungkinan kekurangan ini adalah kerana fokus tenaga dan masa daie tidak dihalakan sebaiknya kepada pembinaan murabbi dan muwajjih, bina'un tarkiz. Amal syiari atau dakwah umum itu perlu, tetapi pentarbiahan dalaman itu mesti lebih diutamakan, apalagi pada situasi yang benar-benar memerlukan bilangan murabbi dan muwajjih yang ramai dan berkualiti. Perlu ada imbangan pada marhalah takwin dan taarif.

"Semoga menjadi manfaat, kita jelaskan disini bahawa tarbiyyah tidak sah jika dibataskan hanya kepada peringkat bahawan dan ditinggalkan peringkat menengah atau yang lebih tinggi. Ia wajib diteruskan berkekalan, bermula dari peringkat bawah kepada menengah dan tinggi kerana setiap seorang memerlukan bekalan dan bahan ingatan. Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan kecuaian terhadap tarbiyyah yang dapat kami kemukakan;
1. Memberikan tumpuan yang lebih kepada bidang politik dan meringankan aspek tarbiyyah.
2. Tidak menyediakan para murabbi dan pelatih.
3. Usrah diubah menjadi kelas kewartawanan, semata-mata untuk mengetahui bukan untuk mengasah bakat, pembentukan peribadi dan membina akhlak.
4. Sibuk dengan bidang-bidang lain sehingga mengenepikan tarbiyyah. Tarbiyyah tidak boleh diganggu dengan sesuatu walaupun dengan jihad atau memerangi musuh malah tarbiyyah dalam suasana begini menjadi sangat penting dan diperlukan kerana unsur iman merupakan keperluan yang dimestikan untuk mendapat sokongan dan pertolongan Allah. " -Musfafa Masyhur, Jalan Dakwah: Antara Keaslian dan Penyelewengan.

Wallahua'lam.

(akan bersambung...)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

The Legend of Kagutaba Village

The perks of doing elective posting.

Talking about mental health