Kerap muntah semasa mengandung: biasa atau bahaya?
بسم الله الرحمن الرحيم
Anda pernah mengalami atau melihat ibu, adik beradik
perempuan, atau rakan-rakan anda muntah-muntah ketika mengandung? Adakah ini petanda biasa wanita yang hamil
atau patut ada kebimbangan bahawa ianya petanda penyakit tertentu yang serius?
Untuk mengetahui dengan lebih mendalam kita akan membuat klasifikasi
punca-puncanya kepada dua; yang pertama ialah muntah yang berlaku secara fisiologikal1, dan kedua secara patologikal2.
Muntah fisiologikal
Muntah fisiologikal atau mabuk hamil ini berlaku semasa awal
waktu pagi dalam bentuk mual atau muntah dan berlaku pada trimester yang
pertama (3 bulan pertama kehamilan). Selepas 3 bulan pertama kebiasaannya mabuk
hamil ini akan hilang. Lebih kurang 50% wanita yang mengandung, khususnya primigravida3 akan mengalami keadaan ini. Muntah
sebegini tidak serius dan merupakan proses normal penghamilan.
Sehingga kini, sebabnya yang sebenar masih tidak diketahui,
tetapi ada beberapa teori yang diketengahkan seperti teori neurotik4,
hormon5, kekurangan zat6 dan alergik7 dalam
menerangkan punca berlakunya muntah fisiologikal.
Bagi wanita yang mengalami keadaan ini, ada beberapa kaedah
rawatan yang boleh diambil dengan saranan doktor,
1. Sokongan emosi dan jaminan dari doktor yang memeriksa,
serta ahli keluarga.
2. Pemakanan. Mengambil makanan pepejal atau separa pepejal,
pengambilan kerap makan dalam kuantiti kecil, yang pertama sebelum meninggalkan
katil, makanan tersebut tinggi karbohidrat, kurang lemak dan protein, serta
minum air sejam selepas makan.
3. Pengambilan makanan yang kaya vitamin B1
seperti roti, telur dan daging, serta makanan mengandungi vitamin B6 seperti nasi, kekacang, ikan dan
hati lembu
4. ubat cegah muntah dalam kes-kes tertentu seperti
Meclozine 25mg.
Muntah patologikal
atau berpenyakit
Muntah ini disebabkan oleh penyakit, dan boleh dibahagikan
kepada 3 iaitu:
1. Muntah spesifik sewaktu kehamilan iaitu hyperemesis gravidarum, yang akan
dibincangkan sebentar lagi.
2. Muntah disebabkan komplikasi kehamilan seperti :
i)
Kes-kes parah pre eklampsia dan eklampsia 8
ii)
Radang buah pinggang disebabkan kehamilan
iii) Kecederaan
pada uterus (rahim)
iv) Pendarahan
tidak sengaja dan lain-lain
3. Muntah yang berkaitan dengan penyakit-penyakit di luar
sistem rahim seperti radang pada organ-organ penghadaman, penyakit buah
pinggang, atau ketumbuhan di otak.
Apa itu Hyperemesis gravidarum ?
Muntah ini secara mudahnya adalah muntah yang berlaku lebih
dari kebiasaan, lebih serius dan akan mempunyai kesan terhadap kesihatan wanita
mengandung. Muntah sebegini lebih lazim kepada primigravida, 3 bulan pertama,
kehamilan tidak terancang dan sejarah positif keluarga.
Berbeza dengan muntah fisiologi, muntah ini boleh berterusan
sepanjang hari, selain ketika mengambil makanan. Keadaan ini boleh juga dikesan
apabila wanita tersebut menunjukkan beberapa simptom seperti pening kepala,
kabur penglihatan, demam kuning (jaundice), serangan pitam dan selalu letih.
Ada juga pesakit yang akan mengadu kurang kencing dan sembelit.
Sekiranya anda mengalami simptom-simptom ini sila lakukan
pemeriksaan dengan doktor di klinik atau hospital berdekatan. Lakukan pemeriksaan dengan saranan doktor anda agar kesihatan ibu dan bayi dapat dipelihara dan sebarang komplikasi mampu dielakkan atau diminimakan.
Wallahua’lam.
Disclaimer: penulisan ini adalah untuk tujuan berkongsi ilmu
berdasarkan pembelajaran teori di kelas, tidak bertujuan menggantikan
kounseling dengan doktor di alam sebenar.
Nota kaki:
1 fisiologikal: proses
yang berlaku secara normal
2 patologikal: proses
yang berlaku diluar kebiasaan/disebabkan penyakit
3 primigravida: wanita
hamil pertama kali
4 teori neurotik:
manifestasi psikologi cenderung untuk membuang atau menghilangkan kehamilan
merangsang pusat emetik di otak.
5 teori hormonal: Peredaran
hormon HCG (Human Chorionic Gonadotrophin) atau Estrogen dalam kuantiti yang
tinggi akan merangsang kawasan di otak dinamakan chemo-receptor trigger zone.
Hal ini biasa berlaku semasa hamil kembar (multiple pregnancy) ataupun
hydatiform mole
6 teori kekurangan
nutrisi seperti vitamin B1 & B6
7 teori alergik:
hipersensitiviti terhadap hormon kehamilan
8 pre eklampsia: kehamilan dicirikan dengan darah tinggi dan terkandung protein dalam air kencing +- edema semasa separuh kedua mengandung.
8 pre eklampsia: kehamilan dicirikan dengan darah tinggi dan terkandung protein dalam air kencing +- edema semasa separuh kedua mengandung.
Ulasan
Catat Ulasan