Menyelamatkan lidah di akhir zaman
Hari ini tangan kita menggantikan lidah-lidah untuk berkata-kata.
Menulis di depan papan kekunci dan touchscreen lebih mudah berbanding berpidato atau bersyarah di khalayak orang ramai.
Mungkin kerana itu, begitu banyak komen-komen terpapar di media sosial, khususnya facebook yang popular bagi semua peringkat umur. Pos-pos berkaitan isu sensasi dan menarik pasti memancing lebih ramai pengguna facebook untuk terlibat sama.
Jika tulisannya itu membawa kebaikan, berunsur positif dan menyatakan kebenaran tiada salah sama sekali.
Namun, amat menyakitkan apabila komen-komen yang ditulis hanya menambah kemudaratan, bukan memberikan penyelesaian.
Kemudaratan berlaku apabila berlakunya kezaliman terhadap mangsa fitnah kerana sesuatu yang tidak benar ditimpakan kerana komen-komen yang ditulis.
Kemudaratan juga boleh berlaku dalam bentuk hilangnya ukhuwwah dan mahabbah akibat pertelingkahan di media sosial. Hubungan menjadi renggang.
Belum lagi disebut bagaimana balasan akibat tidak menjaga anggota dari fitnah dan fasad di hari ad-Din nanti.
Apa yang terzahir di jasad adalah manifestasi apa yang berada di hati. Kalau kita menurut hipotesis ini jelasnya terlalu ramai manusia yang sedang sakit jiwanya. Dia tidak perlu berjumpa pakar psikiatri, tetapi dia perlu kembali membersihkan hatinya.
Realitinya, kita tidak akan mampu menghalang setiap pengguna media sosial dari memberikan pandangan yang negatif dan buruk. Tetapi kita sangat mampu untuk menjaga diri dan menjadi contoh buat orang lain. Apalagi seorang yang bergelar muslim.
Islam itu kan bermaksud 'aman', sudah semestinya pemeluknya menyebarkan 'salam' (kesejahteraan) buat manusia sekitarnya bukan? Lidahnya berhikmah, tangan dan kakinya tidak memudaratkan malah menyenangkan. Kita tidak semestinya menjawab kritikan dan tohmahan dengan kenyataan ataupun komen, tetapi kita jawab dengan amal-amal kita dan akhirnya manusia yang menghalang dan membenci tidak mampu berkata apa-apa lagi.
Dalam sebuah hadith riwayat Abu Musa Al-Asy’ari, Rasulullah saw ketika ditanya tentang orang yang paling utama dari orang-orang Islam, beliau menjawab : "(Orang Islam yang paling utama adalah) orang yang orang lain selamat dari kejahatan tangan dan lisannya." (HR. Al-Bukhari no. 11, Muslim no. 42).
Renungkan kata-kata seorang sahabat Rasulullah saw, Abu Darda' ada menyebutkan, "Tidak ada kebaikan dalam hidup ini kecuali salah satu dari dua orang yaitu orang yang diam namun berfikir atau orang yang berbicara dengan ilmu."
Dalam isu MH370 dan MH17,
Jika tak mampu disantuni, jangan disakiti.
Dalam isu Gaza,
Jika tak mampu dibantu, tak membantu dengan sinis pada usaha orang.
Dalam isu politik,
Jika tak pasti, diam.
Dalam isu agama,
Jika tak tahu, diam.
Apa jua berita dan khabar,
Tak tahu, diam.
Kalau tahu dan yakin, sampaikan dengan cara yang berhikmah. Kita bukan nak memenangkan diri kita, tapi semata-mata hanya mencari kebenaran. Hormati perbezaan pendapat, bukan kita sahaja yang membaca dan mengaji.
Dalam banyak perkara, diam itu menyelamatkan. Diamnya mencari penjelasan dengan mengkaji dan belajar dari orang-orang yang alim (berilmu). Tetapi hari ini kita semua sudah mempunyai facebook, twitter, instagram, tumblr, blog dan sebagainya, sehingga untuk diam itu suatu ujian yang besar.
Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (Surah al-Isra':36)
Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi saw Baginda bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Siapa diam, dia pasti terselamat! (Riwayat Al-Tirmizi)
Wallahua'lam.
"Ya Allah, kami berlindung kepadaMu dari kejahatan menyekutukan Kau dengan sesuatu yang kami ketahui dan kami mohon ampun jika kami tersalah menyekutukan Kau dengan sesuatu yang tidak kami ketahui."
Ameen.
Ulasan
Catat Ulasan