Kalau Saya Mahasiswa

بسم الله الرحمن الرحيم

Petikan dari buku Kalau Saya Mahasiswa tulisan Saifuddin Abdullah:

Sebagai sebuah gerakan, mahasiswa/masyarakat sivil, malahan dalam apa bidang sekalipun, perlu mempunyai rukun perjuangan. Dalam hal ini, saya percaya, ia terdiri daripada tiga perkara, iaitu, idealisme, aktivisme dan intelektualisme. Perkara-perkara ini banyak saya pelajari daripada bekas Presiden ABIM, Dr. Siddiq Fadhil.

Idealisme merujuk pegangan atau prinsip fundamental yang berasaskan dua perkara pokok. Pertama, kecintaan terhadap nilai yang muluk, mulia dan murni. Contohnya, kecintaan terhadap kebenaran, keadilan dan keharmonian. Manakala yang kedua ialah kebencian terhadap unsur yang murah, muak dan mual, contohnya, kebencian terhadap kepalsuan, kezaliman dan kehuru-haraan. Ini diambil daripada ajaran Islam tentang berbuat makruf dan melarang kemungkaran.

Aktivisme pula ialah proses merealisasikan idealisme. Ini termasuk kebijaksanaan menerjemah idealisme agar menjadi langkah-langkah atau tindakan-tindakan yang praktikal. Di sini lahirnya hal ehwal perjuangan seperti kesukarelaan dan pengorbanan. Dalam Islam, ini ditandai oleh konsep berlumba-lumba berbuat kebajikan.

Manakala intelektualisme tidak merujuk menara gading. Sebaliknya, ia merujuk penghayatan budaya ilmu yang berasaskan tiga prinsip, iaitu meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi; setiap individu sentiasa menuntut, menyebar dan mengembangkan ilmu; dan setiap keputusan dan tindakan dibuat berlandaskan ilmu.

Ketiga-tiga rukun ini perlu diamalkan secara bersepadu dan seimbang. Hanya memiliki idealisme dan aktivisme, tetapi tanpa intelektualisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil bersemangat dan rajin berbuat program, tetapi kerana tidakberbekal ilmu, maka ia tidak tahu bagaimana hendak menghasilkan kemajuan dan keberkesanan yang berganda. Hanya memiliki idealisme dan intelektualisme pula, tetapi tanpa aktivisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil bersemangat dan cerdik, tetapi kerana tidak berbuat apa-apa, maka ia tidak akan menghasilkan sesuatu yang praktikal dan konkrit. Manakala hanya memiliki aktivisme dan intelektualisme, tetapi tanpa idealisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil rajin dan cerdik, tetapi kerana tidak berprinsip, maka ia boleh dijual-beli.

Di samping itu, pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil perlu mempunyai sudut pandangan dunia (tasawwur atau world view) perjuangan dan gerakan yang holistik. Ini amat penting bagi memastikan ia mempunyai perspektif yang tepat terhadap makna dan cara perjuangan yang sebenarnya. Ia juga penting bagi memastikan semboyan perjuangan tidak dilaungkan sebagai retorika semata-mata, tetapi benar-benar sebagai komitmen yang terbit dari lubuk hati, yang memungkinkan perjuangan dipacu secara bersungguh-sungguh dan berkesinambungan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

The Legend of Kagutaba Village

Intifada al-Aqsa: Peristiwa, sebab dan kesan

The perks of doing elective posting.