Jun 6, 2017

Membetulkan ekstrem sebahagian kita terhadap para sahabat Rasulullah saw


Salah faham kita dalam membaca sirah para sahabat radiallahuanhum adalah konotasi  ekstrem bahawa mereka superhuman sehingga mustahil untuk kita jadikan sebagai role model. Hasrat awal untuk menurut jejak langkah mereka akhirnya berubah menjadi sebuah inferiority complex. 

Hilangnya keterujaan dalam membaca kisah mereka.

Rasanya jauhnya kita, akhirnya biarlah mereka jauh, usah dikejar. 

Letih.

Penat. 

Mana mungkin kita akan jadi seperti Umar yang menginfakkan separuh hartanya dijalan Allah, lalu diatasi Abu Bakr yang menginfakkan seluruh hartanya- hanya Allah dan Rasul buat anak dan isteri?

Nak keluar duit dalam poket pun memilih-milih duit kecil untuk disedekahkan.

Siapa yang tak rasa down?

Kedudukan mereka disisi Allah dan Rasul SAW



Allah telah mengiktiraf kemuliaan para sahabat di dalam al-Quran,



 وَالسَّابِقُونَ الأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللّهُ عَنْهُمْ وَرَضُواْ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ 

Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama masuk Islam di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka pun reda kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar. ” (Surat At Taubah:100)

Rasulullah saw dalam sebuah hadith sahih dari Ibnu Mas'ud r.anhu menyebutkan,

خَيرُ النَّاسِ قَرنِي، ثُمَّ الذَّينَ يَلونَهُم ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلونَهُمْ    
  
 Sebaik-baik manusia adalah mereka yang berada di masaku, kemudian orang-orang yang datang setelah mereka, kemudian orang-orang  yang datang setelah mereka. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Apabila Allah dan Rasul SAW sendiri memuliakan mereka, sudah tentu kita juga diseru agar memuliakan mereka. Pada satu sisi mereka sememangnya adalah manusia 'super' yang tidak mungkin ada lagi manusia yang akan mendapat ketinggian darjat seperti mereka, akan tetapi ada satu lagi sisi yang jarang kita ketengahkan.
Belajar dari kisah Hasan ibn Thabit ra


Semasa persediaan perang Khandaq/al-Ahzab pada tahun ke 5 hijrah, Rasulullah saw memerintahkan agar wanita dan kanak-kanak untuk berlindung sebuah kubu yang digelar al-Fari' atas faktor keselamatan sekiranya berlaku khianat dari Banu Quraizah walaupun mereka berulang kali memberi jaminan untuk berpegang dengan perjanjian.

Selain beberapa orang tua yang tidak mampu berperang serta kanak-kanak, hanya Hassan Ibn Thabit ra lelaki dalam umur yang layak berperang turut bersama dengan mereka. Mengapa?

Abdullah Ibnu Zubayr ra yang berumur sekitar 4-5 tahun ketika itu menyebutkan dari Musnad Imam Ahmad, "Wanita dan kanak-kanak di sebuah kubu bersama Hassan, dan dia seorang yang tidak berani( tidak mampu memegang pedang- disebutkan dia akan menggeletar ketika memegangnya)."

Seminggu kemudian tentera al-Ahzab mula menyerang Madinah, dan Banu Quraizah mengambil keputusan untuk berlaku khianat. Mereka memikirkan cara untuk mengalahkan Muslimin ialah dengan membunuh semua kanak-kanak dan wanita di al-Fari'. Mereka menghantar 2 orang perisik pada waktu malam untuk melihat sejauh mana kekuatan al-Fari'. Sekiranya kubu tersebut tidak dipertahankan, mereka akan menyerang.

Menjelang tengah malam, Safiyyah binti Abdul Muttalib r.anha, ibu saudara kepada nabi SAW mendengar suara dari luar kubu. Bunyi batu-batu dipanjat. Beliau pantas menuju kepada Hassan ibn Thabit ra mengetahui beliau satu-satunya lelaki yang ada dan mengejutkan beliau lalu menyeru, "Bangun dan lakukan sesuatu!". Hassan ra pun membalas, "Semoga Allah merahmatimu tetapi kau tahu aku tidak mampu melakukan hal ini!". Safiyyah ranha dengan segera mengenakan selendang lelaki, mengambil belati lalu digigit di gerahamnya dan melompat keluar dari tingkap.

Dalam kepekatan malam, Safiyyah r.anha mencari lelaki yang cuba memasuki kubu al-Fari', menemuinya dan menyerang hendap sepantas kilat, memenggal lehernya dan mencampakkan kepala lelaki itu ke luar kubu. Melihat kepala rakannya berguling dihadapannya, pengintip itu menjerit ketakutan dan melarikan diri, meyakini kubu al-Fari' dikawal dengan ketat. Safiyyah kemudian menyuruh Hassan memakai perisai dan menghunus senjata, tetapi Hassan berkata, "Aku tidak memerlukannya".

Jelas dari kisah ini mendidik kita banyak perkara. Antaranya ialah:

1. Para sahabat semuanya adalah manusia, dan mereka tidak terlepas dari melakukan dosa dan mempunyai kelemahan. Kisah Kaab ibn Malik, Hatib bin Abi Balta'ah, Umar al-Khattab, semuanya memaparkan sifat manusiawi para sahabat r.anhum. Namun semua itu tidak merendahkan martabat mereka disisi Allah. Allah telah mengampunkan mereka, dan Allah reda kepada mereka. Ketidaksempurnaan mereka itulah menjadikan mereka role model yang sempurna.

2. Disebalik kekurangan Hassan dalam berperang, beliau mempunyai kelebihan lain yang tiada pada Abu Bakr, Abu Hurairah, Ibn Abbas, Aisyah dan lain-lain. Beliau merupakan penyair rasmi kepada Rasulullah SAW. Ketika Quraish membacakan syair terhadap baginda SAW, Nabi SAW berkata "Bangun wahai Hassan dan pertahankan aku, dan Jibril as akan bersama denganmu". Hassan juga memiliki mimbar yang khusus buat dirinya dimana beliau akan berdiri dan bersyair- satu-satunya sahabat yang memiliki mimbar sebegini.

3. Setiap individu mempunyai peranan yang penting dan unik; kelemahan kita, dosa-dosa kita tidak sepatutnya menghalang kita dari berperanan dan menyumbang. Hassan mengakui kelemahannya begitu juga para sahabat, kerana itu tiada yang menghalang Hassan bersama dengan wanita dan kanak-kanak di al-Fari'. Akan tetapi saat Rasul SAW menyeru, "Wahai Hassan pertahankan aku!", adakah Hassan menyatakan "Ya Rasulullah aku tidak layak, aku mempunyai dosa.." atau dia bangkit dan menggunakan segala kelebihannya mempertahankan ar-Rasul?

Jangan sesekali menyerah pada rayuan syaitan yang membisikkan keraguan pada jiwa kita " Siapa kau untuk bertaubat? Siapa kau untuk masuk syurga? Siapa kau untuk berdakwah dengan segala dosa-dosa kau?". Seorang muslim sejati tidak akan sama sekali membiarkan dosa-dosanya menjadi penghalang untuk dia melakukan kebaikan.

Apabila kita memahami kemanusiaan para sahabat pada sisi ini, akan terbina jambatan antara kita dan mereka untuk didekati dan menjadi guru dalam kehidupan kita. Mereka menjadi suri teladan yang realistik dan membumi dalam kehidupan seharian kita. 

Mereka -radiallahuahum- adalah cahaya yang memberi petunjuk kepada pengembara yang mencari arah di kemalapan malam, jika pengembara tahu membaca petunjuk dengan betul.

Wallahua'lam.







0 comment:

Post a Comment