Cut Nyak Dien, Harimau Tanah Rencong



بسم الله الرحمن الرحيم

Sempena memperingati hari kemerdekaan negara kita ke-59, saya mengambil masa menonton sebuah filem sejarah/biografi Indonesia, "Cut Nyak Dien" yang diterbitkan pada tahun 1988.

Nama Cut Nyak Dien pertama kali saya dengar dan baca dalam 7 tahun yang lalu dalam sebuah makalah, namun semalam tiba-tiba tergerak untuk menonton filemnya. Cerita ini mengisahkan tentang Cut Nyak Dien, seorang wanita berstatus bangsawan Aceh dan turun berjuang menentang penjajahan Belanda bersama suaminya, Teuku Umar yang juga seorang panglima perang. 'Kitab-kitab sabil' dan syair dibacakan kepada parajurit dan anak-anak Aceh untuk membakar semangat jihad fisabilillah.


Namun dalam sebuah pertempuran pada Februari 1899, akibat pengkhiatan, suaminya terbunuh lalu Cut Nyak Dien mengambil alih tampuk kepimpinan melawan 'Kaphe Ulanda', gelaran bagi tentera Belanda.

Perang Aceh berterusan selama beberapa tahun. Beliau terpaksa menukar strategi kepada taktik gerila. Kekuatan pasukan Cut Nyak Dien diasak berkali-kali sehingga terlalu ramai yang syahid. Siri-siri pengkhianatan dari dalam menyumbang kepada kekalahan demi kekalahan pihak Cut Nyak. Keadaan dipersulitkan dengan kesihatan dirinya yang semakin 'renta', rabun dan tenat.

Akan tetapi sekalipun dalam sarana itu, Cut Nyak tidak sama sekali mahu menyerah. Apabila anak buah terdekatnya, Bang Laut akhirnya meluahkan kekhuatiran akan kekuatan mereka yang semakin lumpuh serta bimbang akan kesihatan beliau, Cuk Nyak membalas dengan marah, "aku tidak takut semua itu, asal bukan jiwa kita yang lumpuh...persetankan semua kaphe-kaphe itu...ingat, perang kita kali ini perang melawan kegoyahan iman."

Haybat..! Pada detik-detik paling lemah, imannya makin menyerlah.

Tanpa mengolah lanjut, Cut Nyak Dien akhirnya ditangkap dan dibuang negeri ke Jawa Barat, jauh dari tanah kelahirannya.


Apa yang boleh saya simpulkan dari filem ini:

1. Iman adalah akar kepada kekuatan peribadi. Iman yang lemah persis akar yang mati atau tidak kukuh, tidak akan menjadi pohon yang kuat, tiada buah amal, tidak menjadi teduhan kerana tiada daunan. Cut Nyak Dien dan Umar serta pengikut-pengikut setia dan orang kampung memanifestasikan iman ini pada saat yang paling teruji.

2. Kekalahan bukan dari kekuatan musuh, tapi perpecahan dalam barisan sendiri. Cut Nyak sendiri menyebutkan hal ini. Dan memang berlaku dalam banyak insiden seperti pembunuhan Teuku Umar berdasarkan maklumat dari mata-mata yang diupah, pemburuan Cut Nyak yang sentiasa dapat dijejaki kerana ada musuh dalam selimut.

3. Wanita juga mampu memimpin, bahkan menjadi ketua perang! 

4. Pendekatan Belanda yang menjajah secara fizikal menjadikan sebab penentangan lebih mudah. Cara sebegini, sekalipun tanah dijajah, kehadiran mereka tidak mungkin diterima rakyat tempatan dengan mudah. 

Bandingkan dengan kedatangan British ke Tanah Melayu, walaupun penerimaannya perlahan-lahan pada lewat abad ke-20, terutamanya dari orang Melayu berpendidikan Barat, ini adalah kesan dari cara penjajahan British yang tampaknya 'sopan'. Mereka membuka sekolah-sekolah, menyediakan peluang pekerjaan, serta campur tangan dalam pentadbiran melainkan hal ehwal islam yang terbatas. Tanpa menafikan 'pemberontakan' berlaku di mana-mana, orang Melayu lebih lunak dengan British berbanding kolonial Portugis, Belanda dan Jepun. Kerana itu juga peninggalan British seperti bahasa, cara hidup, pendidikan agak membekas kepada masyarakat di Tanah Melayu.


Sungguh banyak yang boleh kita teladani dari kisah seorang wanita merdeka ini. Perjuangan Cut Nyak Dien juga adalah sebahagian dari sejarah kita dalam satu rumpun akidah dan bangsa. Semoga Malaysia juga mampu menghasilkan filem-filem berkualiti seperti ini, inshaAllah.

فاقصص القصص لعلهم يتفكرون

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

The Legend of Kagutaba Village

Intifada al-Aqsa: Peristiwa, sebab dan kesan

The perks of doing elective posting.