Berapa RM harga untuk dakwah?

بسم الله الرحمن الرحيم

Sesempurna mana pun sesebuah sistem dan undang-undang, jika hakim-nya tidak amanah dan kompeten, maka keadilan tidak mampu ditegakkan. Akan tetapi, sistem dan undang-undang yang rosak, pada tangan hakim yang berdaya & jujur, keadilan mampu dilaksanakan.

Itulah pentingnya tarbiyyah. Membina manusia-manusia untuk memahami islam dan menjiwai al-Quran. Walau di mana sahaja mereka berada, mereka mampu memberi manfaat, menjadi contoh dan dapat mengubah keadaan kepada yang lebih baik.

Belajar lah dari kisah Talut dan Bani Israel. Setelah kewafatan Musa a.s, bani Israel meminta pada nabi mereka agar memilih seorang raja untuk memimpin mereka berperang. Lalu Allah menukilkan didalam al-Quran,

وقال لهم نبيهم ان الله قد بعث لكم طالوت ملكا قالوا انى يكون له الملك علينا ونحن احق بالملك منه ولم يؤت سعة من المال قال ان الله اصطفاه عليكم وزاده بسطة في العلم والجسم والله يؤتي ملكه من يشاء والله واسع عليم

Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.

Allah sendiri telah memilih Talut sebagai pemimpin mereka, walaupun pada pandangan para pemuka bani Israel, dia tidak layak kerana dia tidak memiliki kekayaan harta benda. Akan tetapi, neraca dari langit ternyata berbeza.

Allah memilih Talut a.s bukanlah pada dasar material dan hartanya, tetapi pada ilmu dan fizikalnya. Kelebihannya itu menjadikan beliau kompeten. 

Jadi, apakah harta itu tidak penting? Mencari kekayaan itu tidak perlu?

Tidak sama sekali.

Rasulullah saw mempunyai baju perang yang terbaik, as-Sakb kuda yang terbaik, dan al-Quswah, unta yang terbaik untuk berperang. Semua harta baginda saw diinfaqkan demi Islam. Memilih asbab terbaik agar kejayaan berpihak dengan baginda saw.

Maka dari contoh agung ini, kita fahami bahawa seorang daie mesti memiliki aset-aset untuk dakwahnya. Jika dakwah memerlukan anda sering berulang-alik dari rumah ke tempat pengajian untuk peningkatan diri dan memahami Islam, maka anda memerlukan duit pengangkutan yang bukan sedikit. Jika dakwah memerlukan anda membeli kereta, atau menyewa rumah untuk berprogram, maka semua itu tidak lain datang dari duit poket anda. 

Tarbiyyah mendidik agar muharrik dakwah mampu sampai kepada kefahaman ini, dan agar wasail tarbiah juga dapat dilaksanakan dengan baik kepada mereka yang dibina. 

Kelebihan harta seorang daie tidak bermakna jika hanya digunakan untuk bersenang-lenang, berehat-rehat, dan lebih malang naudzubillah, menjauhkan kita dari mengingati Allah dan berdakwah. Siapa tahu bahwa Talut tidak berharta, barangkali segala hartanya dimanfaatkan agar cukup ilmu dan kekuatan fizikal, sesuai dengan keperluan dakwah waktu itu sehingga melayakkan dirinya dipilih dan dimuliakan Allah memimpin bani Israil. Wallahua'lam.

Berapa ringgit nilainya untuk dakwah?
Tidak pasti secara tepat, tetapi yang pasti nilainya tidak mungkin sedikit, berkemungkinan besar perlukan lebih dari duit dan wang kita. 

Akhirnya, kita memohon dan berusaha semoga Allah memberi kekuatan untuk kita sedia berinfaq, dan menerima segala infaq kita sebagai pembuka hati-hati manusia kepada hidayahNya dan memudahkan jalan kita semua ke syurga Allah, dengan izinNya. Amin.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

The Legend of Kagutaba Village

Intifada al-Aqsa: Peristiwa, sebab dan kesan

The perks of doing elective posting.