Intifada al-Aqsa: Peristiwa, sebab dan kesan

oleh Adib 'Afifi bin Abdul Rahim

Latar belakang

Terma intifada secara harafiahnya bermaksud gegaran. Perkataan al-Aqsa, juga dikenali sebagai Baitul Muqaddas adalah merupakan tempat ibadah ke-3 paling mulia dalam Islam. Judaisme merujuknya sebagai Temple Mountain, tapak paling mulia dalam agama Yahudi dan didakwa pernah dibina atasnya Haikal Sulaiman. Intifada al-Aqsa merujuk kepada kebangkitan rakyat Palestin menentang Israel. Lawatan provokasi Ariel Sharon ke Haram As-Syarif pada 28 September 2000 adalah merupakan pencetus yang mengakibatkan kemarahan dan kebangkitan rakyat Palestin. Kebangkitan ini dinamakan Intifada al-Aqsa atau Intifada ke-2. Ianya berlaku 2 bulan selepas gagalnya Proses Oslo. Intifada al-Aqsa berlangsung tidak hanya semata-mata kerana tindakan Ariel Sharon, tetapi juga adalah hasil siri peristiwa selama berpuluh tahun dan multifaktorial yang membawa kepada kebangkitan ini. Namun dalam artikel yang ringkas ini saya hanya akan mengulas salah satu faktor tercetusnya Intifada 2 iaitu kegagalan perjanjian Oslo.

Kegagalan Perjanjian Oslo

Perjanjian Oslo 1993 menandakan buat pertama kalinya negara haram Israel dan Palestine Liberation Organization (PLO) mengiktiraf satu sama lain dan secara terbuka melakukan perundingan bagi mencapai penyelesaian terhadap konflik selama berpuluh tahun. Perjanjian ini bukan perjanjian damai, tapi perjanjian ini menggagaskan penyusunan pemerintahan sementara Palestin dan membentuk rangka membantu siri perundingan sehingga perjanjian akhir yang akan diselesaikan pada akhir 1998.

Perjanjian Oslo memindahkan kekuasaan terhadap bandar-bandar di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dari tentera Israel kepada Pihak Berkuasa Palestin yang baru ditubuhkan. Ia adalah sebuah struktur sementara bagi mengawal keselamatan dan pentadbiran di kawasan tersebut. Matlamat akhirnya ialah melalui penubuhan sebuah kerajaan sendiri Palestin dan penarikan diri Israel dari tanah jajahannya, akan mampu mengukuhkan kepercayaan antara pemimpin kedua-dua pihak untuk merundingkan status akhir isu-isu asas/fundamental termasuklah Jerusalem, nasib pelarian Palestin, penempatan haram Israel, sempadan dan keselamatan.

Namun begitu, harapan rakyat Palestin bagi mencapai kehidupan yang lebih baik, lebih kebebasan dan pengakhiran pengawalan Israel tidak menjadi kenyataan. Pembinaan penempatan haram di Tebing Barat dan peluasan kawasan terus berlangsung. Sejak 1993 sehingga tahun 2000, bilangan penduduk haram Israel meningkat sekitar 117% di Gaza dan 46% di Tebing Barat (tidak termasuk Tebing Barat).(1) Pada tahun 2000, 7 tahun selepas Oslo, Israel masih mengawal Timur Jerusalem, 20% dari Gaza dan 59% di Tebing Barat. Kebanyakan percukaian dan pendapatan masih melalui Israel, dan Israel berkuasa memutuskan bila untuk menyerahkan pendapatan tersebut kepada Pihak Berkuasa Palestin (Palestinian Authority- PA). Bagi menampung bilangan pendatang haram yang semakin bertambah, Israel melaksanakan polisi menarik kebenaran tinggal di Jerusalem bagi rakyat Palestin yang tidak dapat membuktikan mereka penduduk asal di sana. Polisi ini menyebabkan lebih 1,600 rakyat Palestin dan keluarga mereka ‘dipindahkan’ pada tempoh 1996-1998, menurut laporan rasmi Israel. (2)

Penguasaan berterusan Israel keatas kehidupan rakyat Palestin menambahkan dendam dan ketidakpuasan hati mereka. Rakyat Palestin melihat proses damai ini gagal dan satu lagi penipuan Israel bagi meneruskan agenda penjajahan dan membeli masa meluaskan kawasan penempatan haram. Hal ini secara tidak langsung membawa kepada tercetusnya intifada ke-2. Menurut Muhammad Dahlan, wakil rasmi keselamatan Palestin, intifada “tidak berlaku kerana perancangan atau niat jahat tetapi kerana desakan keatas rakyat Palestin setelah 7 tahun tanpa tiba ke persetujuan akhir… Intifada berlaku kerana hilangnya kepercayaan kepada perjanjian damai.”(3) Amira Hass, jurnalis Israel menyatakan bahawa, “Intifada tercetus kerana rakyat Palestin sudah letih dengan situasi penaklukan yang menggunakan nama-nama lain.” (4)

Intifada dilancarkan

Pada peringkat awal, intifada bercirikan demonstrasi besar-besaran, lontaran batu dan ketidakpatuhan sivil, bermula dari Baitul Maqdis dan merebak pantas sehingga ke Tebing Barat dan Gaza. Rusuhan demi rusuhan dibalas dengan represi bersenjata berskala besar dari tentera Israel, termasuklah peluru bersalut getah dan peluru hidup, diikuti dengan helikopter dan kereta kebal. Pembunuhan terancang dijalankan dan pencerobohan tentera ke kawasan A Occupied Palestinian Territories (OPT). Dalam masa 5 hari intifada, 47 rakyat Palestin dibunuh dan 1,885 cedera, 80% dari mereka (menurut Amnesty International) tidak memberikan sebarang bahaya kepada tentera Israel. 5 warga Israel dibunuh dalam tempoh yang sama. (5)

Dalam bulan pertama, Israel menembak lebih 1,300,000 peluru, dengan purata 40,000 peluru sehari. Sebahagian penganalisis menyebutkan bahawa kekuatan besar tentera Israel adalah sebab utama fasa protes popular Palestin berakhir dengan cepat dan diikuti oleh penentangan bersenjata. Walaupun pengeboman berani mati adalah karakter penting dalam intifada ke-2, ia hanya bermula selepas lebih sebulan intifada dilancarkan. (6)

Antara peristiwa yang akan kekal menjadi memori tragik buat rakyat Palestin dan Israel dari intifada ke-2 ialah pembunuhan Muhammad al-Durrah, kanak-kanak Palestin berumur 12 tahun dan pembunuhan di Ramallah terhadap 2 orang tentera simpanan Israel oleh polis Palestin. (7) Komuniti Palestin di Israel turut berdemonstrasi, membawa kepada Peristiwa Oktober 2000, dimana 12 warga Israel Palestin dibunuh oleh tentera Israel.

Intifada al-Aqsa: berjaya atau gagal?

Intifada pada kali ini mempunyai kesan yang besar kepada Palestin dan Israel. Sehingga tahun 2006, lebih 4,000 rakyat Palestin, kebanyakan mereka tidak bersenjata termasuk 800 kanak-kanak telah dibunuh oleh tentera Israel dalam siri pengemboman dan penembakan keatas kawasan perumahan dan kem pelarian yang berpopulasi padat sepanjang Kawasan Penjajahan (Occupied Territories). Pada waktu yang sama, 1,100 warga Israel, 770 dari mereka rakyat awam dan 120 kanak-kanak dibunuh oleh kumpulan bersenjata Palestin dalam serangan penembakan, bom berani mati di kawasan terbuka dan serangan roket secara rambang. Ribuan lagi tercedera dari kedua-dua pihak.

Dari aspek global, intifada al-Aqsa telah berjaya perhatian dan menarik simpati masyarakat dunia terhadap perjuangan rakyat Palestin. Kekejaman Israel dan imej di televisyen dimana kanak-kanak ditembak peluru tentera Israel ketika membaling batu kearah kereta kebal menyebabkan gelombang sokongan sivil terhadap Palestin melonjak.

Israel mengalami tekanan psikologi yang besar dan hal ini jelas apabila kerajaan mereka terpaksa menggaji seramai 120,000 pengawal keselamatan di kafe , restoran dan pusat-pusat sosial bagi mencegah serangan bom berani mati Palestin. Rakyat tidak merasa selamat, kurang pengunjung luar dan semakin banyak syarikat menempatkan semula pejabat mereka di negara lain. Akibatnya ekonomi juga merudum sejak tahun 2000.

Namun begitu, harga yang tinggi terpaksa dibayar oleh rakyat Palestin. Sekiranya intifada ini dilancarkan agar rakyat Palestin dapat menikmati hidup yang lebih baik di Gaza dan Tebing Barat, ia telah gagal. Pengawalan semakin ketat di OPT dan pihak berkuasa Palestin memegang lebih kecil kuasa dari awal penubuhannya.Tentera Israel telah menghancurkan lebih 3,000 rumah dan merosakkan ribuan lagi. Sebahagian besar tanah pertanian, tanah hakmilik awam dan peribadi juga dimusnahkan. Ribuan rakyat Palestin tidak mempunyai rumah dan puluhan ribu kehilangan sumber pendapatan. ‘Dinding Keselamatan’ juga mula dibina pada tahun 2001, memisahkan rakyat Palestin dari keluarga dan tanah mereka. (8)

Pengangguran di Occupied Territories mencapai hampir 50%, 2/3 dari populasi Palestin hidup dibawah garisan kemiskinan, bilangan bayi yang mengalami kekurangan zat dan masalah kesihatan lain turut bertambah, dan dapatan produk domestik menurun 50%, menurut Bank Dunia.

Majlis Keselamatan PBB berulang kali mendesak Israel menarik diri dari kawasan yang telah dikuasai sejak 1967 sebagai sebahagian dari perjanjian damai dengan jiran-jirannya, merobohkan dan menghentikan pembinaan penempatan di kawasan yang dijajah. Namun Israel tetap berdegil seperti mana keengganan mereka untuk patuh dengan resolusi-resolusi PBB sebelum ini. ‘Road Map for Peace’ dilancarkan hasil inisiatif Kuartet ,terdiri daripada Amerika Syarikat, Rusia, Kesatuan Eropah dan PBB mencadangkan penyelesaian 2 negara bagi mengakhiri konflik ini. Namun begitu, usaha ini juga gagal.



Penutup
Sekalipun kita melihat rakyat Palestin secara nisbah mengalami kerugian yang lebih besar berbanding Israel, akan tetapi intifada al-Aqsa adalah merupakan peristiwa penting kerana kesan-kesannya secara tidak langsung membuka peluang-peluang lain kepada perjuangan rakyat Palestin. Pertama, masyarakat Palestin mula sedar bahawa mereka tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada kuasa luar dan pemimpin politik mereka khususnya Fatah dan PLO bagi memperjuangkan hak mereka. Selama berpuluh-puluh tahun mereka bergantung harap kepada negara-negara Islam dan dan Arab akan tetapi mereka terus dikhianati, apatah lagi Amerika Syarikat sebagai broker atau orang tengah. Rakyat Palestin juga sedar bahawa tindakbalas ‘non-violence’ yang berkesan dan efektif amat diperlukan bagi meraih sokongan dunia global secara moral. Pada tahun 2005, hasil kerjasama lebih 170 pertubuhan sivil Palestin, ‘BDS Movement’ telah ditubuhkan bagi menerajui usaha ini. (9)

Kedua, pengunduran Israel dari Semenanjung Gaza. Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon pada Disember 2003 mengumumkan Pelan Pengunduran bertujuan untuk ‘meningkatkan keselamatan rakyat Israel, mengurangkan beban kepada Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dan mengurangkan pergeseran antara Israel dan Palestin’. Pengunduran ini mendapat sokongan dari 60% rakyat Israel dan hampir keseluruhan rakyat Palestin.

Ketiga, HAMAS menjadi suara politik rakyat Palestin. Pilihanraya Legislatif Palestin pada tahun 2006 menyaksikan kemenangan besar kepada parti politik Islam tersebut dengan memenangi 74 kerusi dari 112 kerusi yang dipertandingkan. Hal ini menjadi kejutan buat seluruh dunia khususnya Israel dan Amerika kerana mereka sama sekali tidak menjangkakan sebuah “organisasi pengganas” akan menjadi parti pilihan rakyat. Populariti Fatah yang kian merudum diburukkan lagi apabila kalah dengan hanya memenangi 45 kerusi.

Hari ini kita sedang menyaksikan kebangkitan ke-3 dilancarkan dan setakat bulan Oktober lalu lebih 72 rakyat Palestin dibunuh, 2,130 tercedera dan 1,350 ditangkap.(10) Tiada siapa mampu menjangka pasti hasilnya. Akan tetapi, tindakan tunggu dan lihat tidak lagi wajar kerana segala bukti telah jelas dan nyata. Selagi mana penjajahan dan polisis diskriminasi Israel diteruskan, maka kita sebahagian dari masyarakat sivil seluruh dunia mesti berganding bahu mengakhirinya melalui pelbagai metod seperti sebaran maklumat di media sosial, menjalankan program dan kempen bagi mendidik masyarakat di lokaliti masing-masing, serta boikot yang berterusan secara strategik dan kolektif keatas Israel.


(1) The Foundation for Middle East Peace (fmep.org)

(2) Human Rights Watch, World Report 1999 http://www.hrw.org/hrw/worldreport99/mideast/israel.html

(3) An interview with Muhammad Dahlan, "A Palestinian View - Nothing tangible was on the table," http://bitterlemons.org, 15 July 2002, edition.
(4)  Amira Hass, "They Don't See the Occupation," Ha'aretz, 22 August 2001
(5) Amnesty International ISRAEL AND THE OCCUPIED TERRITORIES: BROKEN LIVES - https://www.amnesty.org/en/documents/mde15/083/2001/en/
(7) On October 12, 2002, at the onset of the Second Intifada, two Israeli army reservists were captured by Palestinian police in the West Bank city of Ramallah and brought to a Palestinian police station where they were killed and mutilated by a civilian mob. Footage of the event was broadcast by Israeli and international TV and was, for Israelis, one of the enduring images of the Second Intifada, particularly a photo of one of the men who participated in the killing triumphantly holding his blood stained hands out of the police station window. See "Lynch mob’s brutal attack," Martin Asser, BBC, October 13, 2000.
(8) Amnesty International Israel/Occupied Territories: Road to Nowhere https://www.amnesty.org/en/documents/mde15/093/2006/en/
(9) BDS Movement.net http://www.bdsmovement.net/bdsintro
(10) The Last 10 Days 30 Days in Palestine http://www.24fm.ps/



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

The Legend of Kagutaba Village

The perks of doing elective posting.